Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Ini Negara Paling Awal & Paling Akhir Sambut Tahun Baharu 2026
Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita bakal melangkah ke tahun 2026. Seperti setiap tahun, sambutan tahun baharu akan diadakan di kebanyakan tempat di seluruh dunia.
Sambutan diadakan dengan pelbagai cara, menandakan bahawa kita sudah masuk ke fasa baharu.
Namun, pernah atau tidak anda tertanya-tanya negara mana yang akan menyambut tahun baharu terlebih dahulu? Seperti yang diketahui, masyarakat dunia tidak akan menyambut tahun baharu tepat pada masa yang sama kerana zon masa yang berbeza.
Menurut World Population Review, negara pertama yang akan menyambut tahun baharu setiap tahun ialah Kiribati atau secara tepatnya di pulau Kiritimati.
Kiribati merupakan sebuah negara kepulauan yang terdiri daripada lebih 30 pulau dan atol yang bertaburan merentasi ratusan batu.
Garisan Tarikh Antarabangsa sebenarnya melencong ke arah timur mengelilingi pulau-pulau paling timur negara itu (termasuk Kiritimati) bagi memastikan keseluruhan negara berada pada hari yang sama.
Jika tidak, pulau-pulau di bahagian timur Kiribati boleh ketinggalan sehingga 24 jam berbanding pulau-pulau di bahagian barat.
Menariknya, Kiribati juga merupakan satu-satunya negara di dunia yang mempunyai wilayah di keempat-empat hemisfera.
Sejurus selepas Kiribati, tahun baharu selepas itu akan disambut di bandar dan negara di Kepulauan Chatham di New Zealand. Walaupun bukan kawasan pertama di dunia yang menyambut ketibaan tahun 2026, ia merupakan negara utama terawal yang menyambutnya.
Beberapa jam kemudian, detik tengah malam turut tiba di Australia. Dari situ, waktu tengah malam terus bergerak dari timur ke barat merentasi benua Asia dan seterusnya ke Asia Tenggara.
Jepun, Korea Selatan, China dan India antara negara utama seterusnya yang menyambut tahun baharu.
Detik tengah malam di Eropah kemudiannya menyusul. Selepas itu, bandar-bandar utama di Afrika pula menjadi antara lokasi seterusnya yang menyambut ketibaan tahun baharu.
Benua Amerika pula menjadi wilayah seterusnya untuk memulakan kiraan detik menyambut 2026, termasuk bandar-bandar utama seperti Bandar New York.
Walaupun Bandar New York terkenal sebagai antara sambutan tahun baharu terbesar di dunia, negara-negara di Amerika Selatan tidak ketinggalan jauh. Banyak negara di rantau tersebut berada dalam zon waktu yang sama atau hampir sama dengan bahagian timur Amerika Syarikat.
Ketika ini, hampir dua pertiga daripada dunia telah pun melangkah ke tahun 2026.
Tempat terakhir di dunia yang akan menyambut tahun baharu 2026 ialah Pulau Baker dan Pulau Howland. Untuk pengetahuan, Pulau Baker terletak dalam zon waktu UTC-12.
Kedua-dua pulau ini merupakan pulau tidak berpenghuni dan dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Secara teknikalnya tahun 2026 hanya akan disambut di sini hampir 26 jam selepas sambutan pertama di dunia yang berlangsung di Kiritimati.
Sumber: World Population Review, India.com