Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Tular, Wanita Rusia Dedah Hal ‘Mengejutkan’ Terjadi Di Malaysia

Hannah
wanita rusia malaysia
Gambar: TikTok @gomalaysia

Tular, Wanita Rusia Dedah Hal ‘Mengejutkan’ Terjadi Di Malaysia

Tak dinafikan, Malaysia sememangnya terkenal sebagai destinasi pilihan ramai dari seluruh dunia. Ada yang datang untuk belajar dan bekerja, ada pula yang sekadar ingin bercuti seketika daripada kesibukan hidup.

Malaysia bukan sekadar negara destinasi pelancongan yang cantik, bahkan kaya dengan budaya dan kepelbagaian bangsa.

Ramai pelancong asing yang datang ke sini bukan sahaja jatuh cinta dengan makanan dan keindahannya. Malah, turut terpesona dengan sikap masyarakat kita.

“Apa yang jadi pada saya, cuma boleh jadi di Malaysia…”

Baru-baru ini, kisah seorang wanita dari Rusia mencuri perhatian apabila dia berkongsi pengalaman yang dianggapnya hanya boleh berlaku di Malaysia.

Dia berkongsi kisah itu di media sosial dan pantas mendapat perhatian ramai, termasuk masyarakat tempatan. Difahamkan, kejadian berlaku di salah sebuah pusat beli-belah terkenal di ibu kota.

Kongsinya, dia baru sahaja membeli sebuah telefon bimbit dan kemudian singgah ke sebuah kedai pakaian. Dalam sibuk mencuba baju di fitting room, dia terlupa telefon yang masih “brand new” itu di atas rak selama hampir 20 minit.

Bayangkan paniknya bila dia sedar telefon tiada di tangan.

“Kemudian, seorang pekerja kedai datang mendekati saya dan berkata, ‘Ada sebuah telefon di belakang atas nama seseorang’. Selepas diperiksa, rupa-rupanya telefon itu berdaftar atas nama saya. Seorang wanita telah menemuinya dan menyerahkannya kepada pekerja kedai tersebut,” katanya.

Terharu dengan tindakan itu, wanita Rusia ini berkongsi cerita itu menerusi TikToknya dan berharap untuk bertemu dengan wanita baik yang sudah membantunya.

“Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada wanita itu. Mungkin baginya perkara itu nampak kecil, tetapi ia benar-benar sangat bermakna buat saya,” tambahnya.

Netizen Malaysia kongsi pengalaman sama

Ruang komen dipenuhi dengan kisah-kisah rakyat Malaysia yang membuktikan masih ramai berhati mulia.

“Saya pernah tertinggal dompet di kedai makan. Kedainya kecil sahaja. Saya hanya sedar saya tertinggal beg pada keesokan harinya. Memang panik. Saya terus pergi semula pada waktu tengah hari dan rupanya pemilik kedai telah simpan beg saya dengan baik dalam bungkusan. Siap minta saya periksa satu-satu kalau ada barang yang hilang. Memang baik hati sungguh orang Malaysia ni.”

“Saya pula pernah tertinggal telefon di bangku hospital… lebih kurang 20 minit baru saya perasan telefon tiada dengan saya. Nasib baik suami cuba hubungi saya untuk tanya keadaan. Pengawal keselamatan yang jawab panggilan itu dan beritahu ada orang yang jumpa telefon saya dan serahkan kepada mereka. Alhamdulillah…”

“Ayah saya yang menghidap Alzheimer pula pernah tertinggal telefonnya di R&R di Pahang. Mereka sudahpun balik ke Kuala Lumpur, baru ibu sedar telefon ayah tiada. Ayah pun tak ingat, dan masa tu bateri pun dah habis. Bila kami cuba hubungi, rupa-rupanya ada orang yang simpankan telefon tersebut di R&R itu. Jadi mereka patah balik dan berjaya ambil semula telefon itu. Semoga kebaikan seperti ini terus hidup.”

Bagaimanapun, beberapa warga maya menasihati wanita ini untuk lebih peka dan kekal berhati-hati. Ini kerana kejadian serupa boleh berlaku tetapi mungkin dengan ‘akhir yang mengecewakan’.

Netizen mengakui wanita ini bertuah tetapi pada masa yang sama bak kata mereka, semuanya bergantung pada “luck”.

Kecil pada kita, besar pada orang lain

Kadang-kadang, perkara yang kita anggap kecil, seperti memulangkan barang yang bukan milik kita, sebenarnya cukup besar maknanya untuk orang lain.

Semoga Malaysia bukan hanya dikenang kerana menara tinggi, pantai cantik atau makanan sedap, tetapi juga kerana ‘manusia’ di dalamnya. Semoga budaya hormat, jujur dan saling menjaga ini terus kekal selama-lamanya.

BACA: Minah Saleh Bongkar ‘Kenyataan’ Tinggal Di Malaysia

Sumber: TikTok @gomalaysia