Kim Pan-gon Sah Dilantik Sebagai Jurulatih Selangor FC
SHAH ALAM — Bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon rasmi dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu Selangor FC.
Pengumuman itu dibuat oleh kelab Gergasi Merah itu menerusi satu kenyataan rasmi di laman sosial media.
“Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) ingin mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu skuad utama Gergasi Merah,” maklum kenyataan itu.
Pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman yang luas serta pencapaian cemerlang jurulatih dari Korea Selatan itu sebelum ini.
“Kelab percaya Kim Pan-gon akan memikul tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih skuad utama Gergasi Merah dengan jayanya serta mengemudi pasukan Selangor ke tahap yang lebih tinggi,” kata kelab itu lagi.
Sementara itu, bekas Ketua Jurulatih interim, Christophe Gamel pula telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Selangor FC berkuat kuasa hari ini.
Menurut kelab, Christophe berperanan sepenuh kepada pembangunan jurulatih dan pemain muda bagi skuad bawah 23 tahun sehingga peringkat akar umbi Selangor FC.
“Selangor FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Kim Pan-gon dan Christophe Gamel dalam menjalinkan tanggungjawab dan peranan mereka,” kata kelab itu lagi.
Sumber: Selangor FC