Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Azlan Johar, Lim Teong Kim Cadang Al-Sultan Abdullah Kembali Pimpin FAM
Bekas penyerang legenda negara, Azlan Johar, mencadangkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, kembali menerajui kepimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memulihkan bola sepak negara yang sedang dilanda pelbagai isu.
Menurut Azlan, situasi semasa memerlukan seorang pemimpin yang berwibawa dan berpengalaman bagi mengembalikan FAM ke landasan yang betul.
Beliau turut percaya Al-Sultan Abdullah mampu menghidupkan semula kemeriahan bola sepak tempatan serta menyatukan peminat sukan itu di seluruh negara.
"Sudah tiba masanya kita sedar bahawa FAM perlu diterajui oleh seseorang yang sangat berpengalaman dan berwibawa.
"Pada pandangan saya, Tuanku Sultan Pahang -- saya harapkan dapat kembali semula ke pangkuan FAM untuk membantu dan rakyat dapat kembali bergembira dan menyemarakkan bola sepak Malaysia.
"Walaupun kita sedar untuk layak ke Piala Dunia merupakan satu perkara yang paling jauh, sekurang-kurangnya kita menginginkan kerancakan dan kemeriahan seperti dulu.
"Tidak apalah kita menjadi juara kampung sekalipun, rakyat perlu gembira untuk ke stadium beramai-ramai bagi menyokong pasukan mereka," katanya dalam satu temu bual di program Nadi Arena.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain negara, Lim Teong Kim, turut menyuarakan pandangan yang sama.
"Ini bukan tentang gelaran atau kuasa, ini adalah tentang menyelamatkan sukan ini," katanya kepada sebuah media tempatan.
"Apa yang diperlukan ketika ini ialah kewibawaan, bukannya alasan.
"Anda tidak boleh memperbaiki rumah yang rosak dengan cat. Anda perlu perbaiki strukturnya.
"Al-Sultan Abdullah mengenali peraturan bola sepak dunia, Baginda memahami bagaimana keputusan dinilai di peringkat antarabangsa, bukan sekadar di peringkat tempatan.
"Baginda tidak berselindung apabila sesuatu perkara menjadi serba tidak betul. Baginda mendengar, Baginda bertindak dan Baginda bertanggungjawab," katanya.
Cadangan itu muncul susulan tindakan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang meletakkan jawatan secara beramai-ramai minggu lalu, selepas tercetusnya skandal pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan.