Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Isu Pajakan Pulau Pinang: Sanusi Ikrar Terus Berjuang, Tekad Betulkan Fakta Sejarah

Sofea
Isu pajakan pulau pinang
Kredit: Muhammad Sanusi Md Nor

Isu Pajakan Pulau Pinang: Sanusi Ikrar Terus Berjuang, Tekad Betulkan Fakta Sejarah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan beliau akan berjuang habis-habisan untuk mengembalikan semula hak kedaulatan Kesultanan Kedah ke atas tanah Pulau Pinang.

Menerusi satu video yang dikongsi olehnya di Facebook, Sanusi juga berkata kerajaan negeri bertekad untuk membetulkan semula fakta sejarah yang didakwanya telah dipesongkan.

Menurutnya, semua rakyat negeri Kedah seharusnya mendukung usaha kerajaan negeri untuk mengembalikan hak mereka yang telah dinafikan sejak sekian lama.

Beliau turut menjelaskan mengenai sejarah yang berlaku di antara Kedah dan Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang menzahirkan keperluan untuk isu-isu ini diperjelaskan secara telus termasuk yang berkaitan dengan pajakan.

“Pulau Pinang termasuk Seberang Perai adalah wilayah hak milik Kesultanan Kedah sejak zaman silam yang telah diduduki secara haram melalui penipuan oleh penjajah bermula 9 Ogos 1786.

“Pada 11 Ogos 1786, Francis Light mengibarkan bendera Union Jack di tanah milik Sultan Kedah dan ini adalah satu jenayah.

“Pada April, 12 April 1791, Sultan Abdullah Mukarram Shah telah berusaha mengumpulkan kekuatan untuk mengambil balik Pulau Pinang setelah menyedari Francis Light dan Syarikat Hindia Timur Inggeris telah menipu.

“Tentera Melayu Kedah ditewaskan dengan bedilan meriam di Seberang Perai. Pada 7 Julai 1800, Sultan Kedah terpaksa menandatangani perjanjian menyerahkan sebahagian Seberang Perai kepada British. Lalu Seberang Perai diberi nama baharu Province Wellesley.

“Pada mulanya penyerahan Seberang Perai hanya seluas 60 relung. Kemudian ditambah dan terus ditambah. Kini keluasan Seberang Perai ialah 751 km persegi bersamaan 261,000 relung atau 75,100 hektar. Daripada 60 relung jadi 260,000 relung,” katanya.

Sanusi berkata nilai pajakan Pulau Pinang yang dipersetujui pada peringkat awal adalah sebanyak 6,000 Spanish dollar.

BACA JUGA: Sanusi Dakwa Pulau Pinang Milik Kedah

“Namun ia tidak dibayar oleh Inggeris. Itu yang menyebabkan perang pada tahun 1791. Apabila dapat Sebarang Perai, nilai pajakan ini ditambah 4,000 Spanish dollar menjadikan jumlah kesemuanya 10,000 Spanish dollar. Tak bayar.

“Selepas merdeka pajakan diubah menjadi RM10,000. Bermula 2018 ditambah lagi RM10 juta menjadikan pajakan dibayar atas nama bayaran khas Pulau Pinang sebanyak RM10,010,000,” katanya lagi.

Ujarnya, usaha pada tahun 1791 itu dengan kekuatan tentera Melayu Kedah adalah bukti bahawa Sultan telah berusaha untuk mendapat kembali hak baginda ke atas tanah itu.

Malah, pada tahun 1956, Sultan Badlishah menulis surat kepada Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu untuk menuntut kembali hak kedaulatan baginda ke atas Pulau Pinang.

Bagaimanapun, mereka memaklumkan bahawa perkara itu akan diuruskan selepas merdeka.

“Malangnya selepas negara mencapai kemerdekaan, perkara itu didiamkan,” katanya.

Dalam ucapannya, Sanusi turut berharap agar semua warga Kedah khususnya penjawat awam untuk bersama-sama sepenuhnya menyokong usaha ini untuk membetulkan semula fakta sejarah.

Sumber: Muhammad Sanusi Md Nor