Resipi Leum Kleun, “Dessert” Cantik Dari Thailand
Seperti yang kita tahu, pencuci mulut merupakan satu hidangan yang sering dinantikan terutamanya selepas selesai menikmati hidangan utama.
Di Malaysia, kita sering mengakhiri makan dengan pencuci mulut tempatan seperti kuih-kuih, pengat atau bubur manis.
Bukan itu sahaja, mungkin bagi sesetengah orang, pencuci mulut ini seolah mampu memberi kepuasan kepada mereka setelah menikmati hidangan lain.
Kini,pencuci mulut bukan sahaja tertumpu kepada juadah lokal, malah, pencuci mulut dari negara atau budaya lain juga turut mendapat sambutan.
Sebagai contoh, kuih-muih dari Thailand dan Indonesia juga kadangkala boleh didapati di kedai-kedai ataupun restoran.
Kepelbagaian rasa dari negara lain ini sememangnya menarik minat pencinta manisan ataupun kuih-muih untuk merasai kelazatannya.
Antara yang mungkin boleh dicuba sendiri oleh anda adalah salah satu kuih yang berasal dari Thailand iaitu Luem Kluen.
Warna dan rupanya yang cantik itu sememangnya menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya. Justeru itu, jom kita cuba resipi Luem Kleun yang telah dikongsi oleh Syabiebiey Halym di laman Facebook miliknya.
Bahan-bahan Luem Kleun
Bahan Santan
1/4 sudu teh garam
25g gula
30g tepung beras
350ml santan
Bahan Warna
30g tepung kacang hijau
50g gula
200ml air
100ml air pewarna telang
Cara penyediaan
Mula-mula, sediakan dahulu air bunga telang. Anda boleh rendamkan bunga telang anda sehingga air berubah warna. Untuk mendapatkan warna ungu, anda boleh perahkan sedikit limau nipis dan ketepikan.
Untuk penyediaan santannya pula, anda boleh masukkan garam, gula, tepung beras dan santan ke dalam periuk. Jangan buka api terlebih dahulu. Seterusnya kacau sehingga sebati.
Setelah itu, barulah anda boleh pindahkan ia ke atas api. Kacau lagi sehingga anda dapat tekstur yang likat dan licin.
Seterusnya, untuk pewarna di bahagian luarnya pula, anda boleh campurkan tepung kacang hijau bersama dengan gula, air dan air pewarna telang tadi.
Kacau hingga rata dahulu dan kemudiannya baru pindahkan ia ke atas api dan kacau sekali lagi sehingga anda dapatkan tekstur yang silky dan berkilat.
Selepas itu, anda boleh isi santan dan pewarna tadi ke dalam beg piping dan paipkan ia ke dalam acuan. Paipkan dahulu adunan warna tadi, kemudian baru paipkan inti santan tersebut. Ulang proses sehingga kesemuanya habis.
Kemudian, tunggu sehingga kuih anda mengeras. Sekiranya anda lihat teksturnya masih lembik, itu bermaksud kuih anda masih belum boleh dihidang.
Pastikan ia betul-betul mengeras, barulah anda boleh keluarkan ia dari acuan. Hiaskan Luem Kleun anda dengan hiasan kacang hijau.
Leum Kleun anda siap untuk dihidang. Untuk melihat cara penyediaan dengan lebih jelas, anda boleh tonton video di bawah ini. Selamat mencuba!
Sumber: Syabiebiey Halym