Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Resipi Kopi Santan KA, Salah Satu Menu Di Rembayung

Aina Munirah
Kredit: @khairulaming

Resipi Kopi Santan KA, Salah Satu Menu Di Rembayung

Pembukaan restoran Rembayung milik usahawan dan juga pempengaruh terkenal, Khairul Aming (KA) telah mendapat sambutan yang sangat hebat dari orang ramai.

Malah, yang turut mencuri perhatian adalah beberapa gambar juadah yang telah dimuat naik oleh pelanggan yang mengunjungi restorannya sejak ia dibuka pada 6 Januari lalu.

Lebih menarik, hidangan yang disajikan di restoran ini juga merupakan juadah tradisi Melayu. Jadi, tidak hairan sekiranya restorannya itu dipenuhi dengan pengunjung walaupun ia baru sahaja dibuka.

Antara salah satu menu yang menarik perhatian orang ramai ialah menu air kopi santan. Gabungan rasa antara lemak santan dan pahit dari kopi membuatkan ramai orang tertanya-tanya bagaimanakah rasanya.

Selain itu, jika dibandingkan dengan minuman kopi lain yang lazim dijual di kebanyakan kafe seperti latte, americano, mocha, minuman ini mungkin membawakan identiti serta rasanya yang tersendiri.

Namun, mungkin ada dalam kalangan kita yang terlepas pandang. Sebenarnya, resipi ini juga pernah dikongsi oleh Khairul Aming sendiri di media sosial miliknya.

Jadi, bagi yang tidak berkesempatan berkunjung ke restorannya, anda boleh mencuba untuk menyediakannya di rumah. Ikuti perkongsian di bawah ini.

Bahan-bahan kopi santan

  • Ais

  • Dua kotak kecil santan

  • Setengah cawan susu pekat

  • Sedikit garam

  • Tiga sudu serbuk kopi segera

  • Air panas

BACA: Resipi Nasi Ayam “Simple”, Campak-Campak Je Dah Siap

Cara penyediaan

Mula-mula, kisarkan santan, susu pekat dan sedikit garam bersama dengan ais sehingga anda mendapat tekstur separa halus (slushie).

Kemudian, tuangkan ia ke dalam jag yang berisi ais. Sementara itu, anda boleh sediakan bancuhan kopi untuk dituang ke atas santan tadi.

Sediakan serbuk kopi segera dan tuang air panas sehingga ia betul-betul larut. Setelah ia betul-betul larut, anda boleh tuangkan ia ke atas kisaran santan tadi.

Kemudian, aduk sebati dan sedia untuk dihidang. Gabungan rasa lemak manis dari santan dan pahit dari kopi membuatkan rasanya menyerupai coconut latte yang dijual di kedai.

Ujar KA lagi, sukatan bagi resipi ini bukanlah untuk satu orang minum, sebaliknya satu jag.

Jadi, untuk anda yang tidak berkesempatan mengunjungi Rembayung, boleh cuba resipi ini. Untuk mengetahui cara pembuatan dengan lebih teliti, tonton video di bawah ini.

BACA: Resipi Puding Pisang, Pencuci Mulut Manis & Berkrim Pelengkap Hidangan

Sumber: @khairulaming