Ruang di dalam rumah sememangnya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi apabila ruang penyimpanan semakin terhad.
Tidak hairanlah ruang di bawah katil sering dijadikan tempat ‘sorok’ untuk menyimpan pelbagai barangan yang jarang digunakan.
Namun, di sebalik kedudukannya yang tersembunyi dan nampak praktikal, tidak semua barangan sesuai diletakkan di bawah katil.
Jika disimpan terlalu lama, sesetengah barangan boleh mengundang habuk, serangga dan kelembapan, malah menjejaskan kebersihan serta keselesaan ruang tidur.
Jadi, sebelum menjadikan ruang bawah katil sebagai stor mini, ada beberapa jenis barangan yang sebaiknya dielakkan daripada disimpan di situ.
Hari ini, SK kongsikan 10 barangan yang tidak sepatutnya disimpan di bawah katil serta panduan mengurus ruang tersebut supaya lebih bersih, teratur dan selamat.
10 barangan yang tidak patut disimpan di bawah katil
1. Dokumen Penting
Anda tidak sepatutnya menyimpan sijil kelahiran, pasport, kontrak atau dokumen insurans di bawah katil.
Kelembapan boleh merosakkan kertas dan anda mungkin akan kelam-kabut jika dokumen tersebut diperlukan ketika kecemasan.
Peti simpanan yang kalis air dan tahan api adalah pilihan yang lebih baik untuk melindungi dokumen penting.
2. Peranti Elektronik
Komputer riba, tablet, kabel atau pemacu sandaran boleh mengumpul habuk jika disimpan di bawah katil.

Aliran udara yang terhad pula boleh menyebabkan peranti menjadi panas, terutama jika dibiarkan terpasang.
Peranti elektronik lebih sesuai disimpan di tempat yang bersih, kering dan mempunyai pengudaraan yang baik.
3. Makanan
Walaupun snek disimpan dalam bekas yang bertutup rapat, makanan masih boleh menarik perhatian serangga perosak.
Serpihan atau bau yang samar juga boleh mengundang serangga mahupun tikus.
Oleh itu, makanan tidak sesuai disimpan di ruang tidur, termasuk di bawah katil.
4. Kasut Terpakai
Kasut boleh membawa kelembapan, bakteria dan kotoran dari luar ke dalam rumah.

Jika kasut yang kerap digunakan disimpan di bawah katil, bau juga boleh terperangkap selain membawa kekotoran ke kawasan tidur.
Rak kasut berhampiran pintu masuk lebih sesuai kerana mempunyai pengudaraan yang lebih baik.
5. Bahan Mudah Terbakar
Antara barangan yang boleh meningkatkan risiko kebakaran ialah lilin, bahan berasaskan kertas dan sesetengah bahan pembersih.
Barangan seperti ini sebaiknya disimpan di tempat yang sesuai, jauh daripada sumber haba dan peralatan elektrik.
6. Bahan Kertas Atau Gambar
Gambar dan kotak kenangan sensitif terhadap kelembapan serta perubahan suhu.
Foto boleh menjadi melengkung, pudar atau melekat antara satu sama lain jika disimpan dalam keadaan yang tidak sesuai.
Sebaiknya, simpan bahan kertas dan gambar dalam kotak arkib di tempat yang kering seperti di atas rak atau dalam almari.
7. Beg Kulit
Beg, tali pinggang dan jaket kulit memerlukan aliran udara yang baik untuk mengekalkan keadaannya.

Kulit boleh menjadi rapuh dalam keadaan terlalu kering, manakala kelembapan pula boleh menyebabkan ia berkulat.
Oleh itu, ruang bawah katil bukan tempat yang sesuai untuk menyimpan barangan kulit dalam tempoh yang lama.
8. Kain Atau Pakaian Lembap
Elakkan menyimpan kain atau pakaian yang masih lembap di bawah katil.
Walaupun sedikit kelembapan boleh menggalakkan pertumbuhan kulapuk dan kulat.
Pastikan semua pakaian, tuala dan linen benar-benar kering sebelum disimpan.
9. Barangan Berharga
Elakkan menyimpan barang kemas, wang tunai atau barangan berharga di bawah katil.
Selain risiko kehilangan atau kecurian, anda juga mungkin lambat menyedari jika berlaku kerosakan pada barangan tersebut.
Simpan barangan berharga di tempat yang lebih selamat dan mudah dipantau.
10. Peralatan Senaman Yang Tidak Tersusun
Getah rintangan yang bersimpul, tali senaman yang berselerak atau pemberat yang diletakkan secara longgar mudah mengumpul habuk.
Ia juga boleh menyebabkan anda tersadung atau tercedera ketika cuba mengambilnya.
Gunakan bakul atau bekas penyimpanan yang sesuai supaya peralatan senaman lebih kemas dan mudah diambil.
Panduan mengurus ruang simpanan bawah katil dengan selamat
Namun, bukan bermakna ruang bawah katil tidak boleh digunakan langsung.
Dengan cara penyimpanan yang betul, ruang tersebut masih boleh dimanfaatkan tanpa menjejaskan kebersihan dan keselesaan bilik.
Pakaian luar musim sesuai disimpan di bawah katil jika ia sudah dicuci, dikeringkan sepenuhnya dan diletakkan dalam bekas penyimpanan yang sesuai.
Begitu juga dengan linen tambahan seperti cadar, selimut dan sarung bantal, asalkan semuanya benar-benar kering sebelum disimpan.
Bekas penyimpanan bertutup pula boleh membantu melindungi barangan daripada habuk dan serangga perosak.
Pakaian atau kain tertentu juga boleh disimpan menggunakan beg vakum, tetapi keluarkan dan anginkan sekali-sekala bagi mengelakkan kelembapan terperangkap terlalu lama.
Demi memastikan ruang bawah katil lebih efektif, elakkan meletakkan barangan terus di atas lantai. Gunakan bekas atau kotak yang sesuai supaya lebih mudah dibersihkan dan dialihkan.
Kawasan bawah katil juga perlu dibersihkan secara berkala bagi mengelakkan habuk berkumpul.
Periksa barangan yang disimpan setiap beberapa bulan untuk memastikan tiada tanda kelembapan, kulat, serangga atau kerosakan.
Dengan penyimpanan yang lebih teratur dan pemeriksaan berkala, ruang bawah katil boleh dimanfaatkan dengan lebih baik tanpa mengorbankan kebersihan serta keselesaan ruang tidur.

