Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

10 Negara Paling Kurang Hutan Di Dunia

HUTAN
Sahara Egypt. Gambar: egypttoursplus

Hutan bukan sekadar kawasan yang dipenuhi pokok, sebaliknya ekosistem penting yang membantu menyimpan karbon, menjadi habitat hidupan liar, mengawal kitaran air serta menyediakan sumber makanan, bahan api dan pendapatan kepada manusia.

Namun, tidak semua negara mempunyai kawasan hutan yang luas.

Menurut penilaian global terkini Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), hutan meliputi kira-kira 4.06 bilion hektar, iaitu sekitar 31 peratus daripada keseluruhan kawasan daratan dunia.

Daripada jumlah itu, kira-kira 1.1 bilion hektar merupakan hutan primer yang sebahagian besarnya masih tidak terganggu dan didominasi spesies pokok asli.

Menariknya, taburan hutan di dunia tidak sekata. Eropah, termasuk kawasan hutan luas di Rusia, memiliki kira-kira satu perempat daripada keseluruhan hutan dunia.

Pada masa sama, terdapat negara yang mempunyai kawasan hutan kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan wilayahnya.

Jadi, apakah faktor yang menyebabkan sesebuah negara mempunyai kawasan hutan yang begitu kecil?

Afrika Selatan. Gambar: Detikcom

Negara Kecil, Penduduk Padat

Bagi sesetengah negara yang mempunyai keluasan sangat kecil dan penduduk yang padat, ruang untuk kawasan hutan sememangnya amat terhad.

Monaco, misalnya, tidak mempunyai kawasan hutan langsung. Negara berkenaan hanya mempunyai keluasan kira-kira dua kilometer persegi, menyebabkan sebahagian besar tanah digunakan untuk pembangunan dan penempatan.

Situasi hampir sama berlaku di Nauru, sebuah negara kepulauan Pasifik yang hanya mempunyai keluasan sekitar 21 kilometer persegi.

Sementara itu, Kiribati dan Maldives masing-masing hanya mempunyai sebahagian kecil kawasan yang dikategorikan sebagai hutan.

Dalam keadaan tanah yang terhad, kawasan perumahan, jalan raya dan pertanian mengambil sebahagian besar ruang yang ada.

Gurun Luas Di Asia Barat

Asia hanya mempunyai sekitar 15 peratus daripada keseluruhan hutan dunia, walaupun benua itu merupakan daratan terbesar di dunia.

Antara sebab utama ialah kewujudan kawasan gersang yang sangat luas, khususnya di Asia Barat.

Negara seperti Qatar, Oman dan Kuwait hampir tidak mempunyai kawasan hutan, manakala Arab Saudi dan Yemen masing-masing mempunyai sekitar satu peratus atau kurang kawasan berhutan.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula mempunyai kira-kira lima peratus kawasan hutan, antara yang tertinggi di Semenanjung Arab.

Kawasan gurun yang luas menjadikan keadaan persekitaran kurang sesuai untuk pertumbuhan pokok secara semula jadi.

Gurun pasir Australia. Gambar: Traveloka

Asia Tengah Turut Didominasi Kawasan Gersang

Situasi sama dapat dilihat di Asia Tengah.

Kawasan hutan di Turkmenistan dan Uzbekistan masing-masing hanya sekitar lapan hingga sembilan peratus, manakala Kyrgyzstan sekitar tujuh peratus.

Tajikistan pula mempunyai kira-kira tiga peratus kawasan hutan, sementara Kazakhstan hanya sekitar satu peratus.

Di selatan, Afghanistan mempunyai sekitar dua peratus dan Pakistan kurang daripada lima peratus kawasan berhutan.

Antara kawasan gersang utama di rantau itu ialah Gurun Karakum yang meliputi sebahagian besar Turkmenistan serta Gurun Kyzylkum yang merentasi Uzbekistan dan Kazakhstan.

Sahara Hadkan Pertumbuhan Hutan Di Afrika Utara

Afrika mempunyai kira-kira 637 juta hektar kawasan hutan, bersamaan sekitar satu perlima daripada keseluruhan daratan benua itu.

Namun, kewujudan Gurun Sahara yang sangat luas menjadi antara faktor utama kawasan hutan di Afrika Utara lebih terhad.

Mesir, Libya, Mauritania, Algeria, Niger, Chad dan Tunisia antara negara yang mempunyai kawasan hutan sekitar lima peratus atau kurang.

Keadaan cuaca yang panas dan jumlah hujan yang sangat rendah menyukarkan pertumbuhan pokok dalam skala besar.

Di selatan Sahara pula terdapat Sahel, iaitu kawasan separa gersang yang membentang luas merentasi benua Afrika.

Walaupun lebih hijau berbanding kawasan gurun, beberapa negara di rantau itu seperti Mali, Sudan, Sudan Selatan dan Eritrea masih mempunyai kawasan hutan yang rendah.

Apabila kawasan kering beransur-ansur berubah kepada savana yang lebih lembap dan seterusnya hutan tropika, liputan hutan turut meningkat.

Afrika Selatan Juga Ada Kawasan Kurang Hutan

Kawasan paling kering di selatan Afrika turut menyumbang kepada rendahnya liputan hutan di beberapa negara.

Namibia, yang terletak antara Gurun Namib dan Kalahari, merupakan antara negara paling kering di sub-Sahara Afrika.

Kawasan hutannya hanya sekitar lapan peratus, dengan sebahagian besar kawasan berhutan tertumpu di bahagian utara yang menerima lebih banyak hujan.

Lesotho pula mempunyai keadaan yang berbeza.

Negara yang terletak di kawasan pergunungan itu mempunyai iklim lebih sejuk, namun kawasan hutan hanya meliputi kira-kira satu peratus daripada keseluruhan wilayahnya.

Keadaan tanah pergunungan serta pergantungan terhadap kayu sebagai bahan api dan bahan binaan menjadi antara faktor yang dikaitkan dengan kecilnya kawasan hutan di negara berkenaan.

Jadi, Mengapa Ada Negara Hampir Tiada Hutan?

Secara ringkasnya, iklim dan keluasan tanah memainkan peranan besar.

Negara yang didominasi gurun atau kawasan gersang berdepan kekurangan air untuk menyokong pertumbuhan hutan, manakala negara kecil dan padat penduduk pula mempunyai ruang yang sangat terhad untuk mengekalkan kawasan hutan.

Menariknya, walaupun hutan dunia meliputi kira-kira satu pertiga kawasan daratan, sebahagian besar kawasan tersebut tertumpu di hanya beberapa negara besar.

Ini menunjukkan bahawa saiz sesebuah negara tidak semestinya menentukan keluasan hutannya atas faktor geografi, iklim, kepadatan penduduk dan penggunaan tanah turut memainkan peranan besar.

Intipati
  • FAO menganggarkan hutan meliputi 4.06 bilion hektar, sekitar 31 peratus daratan dunia.
  • Monaco tidak mempunyai hutan kerana keluasan sangat kecil dan penggunaan tanah yang padat.
  • Gurun luas di Asia Barat, Asia Tengah dan Afrika Utara mengehadkan pertumbuhan hutan semula jadi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan