Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

10,000 Tentera Dikerah Selepas Pemburuan ‘El Mencho’
Mexico telah mengerahkan 10,000 anggota tentera bagi menghentikan pertempuran yang tercetus selepas pembunuhan ketua kartel dadah paling dikehendaki negara itu, lapor AFP.
Menurut pihak tentera, Ketua Kartel Jalisco Generasi Baharu (CJNG), Nemesio 'El Mencho' Oseguera dilapor cedera dalam tembak-menembak dengan pasukan tentera di Tapalpa dan disahkan meninggal dunia semasa dibawa ke Mexico City.
Berita kematiannya mencetuskan gelombang keganasan, dengan ahli kartel menutup jalan raya serta membakar kenderaan dan perniagaan di 20 negeri.
Sekurang-kurangnya 27 anggota pasukan keselamatan, 46 suspek penjenayah dan seorang orang awam terkorban dalam operasi dan pertempuran susulan.
Setiausaha keselamatan negeri memaklumkan bahawa penjara di Jalisco turut diserang, mengakibatkan sekurang-kurangnya 23 banduan melarikan diri.
Sebelum ini, Oseguera ditawarkan ganjaran sebanyak AS$15 juta bagi sesiapa yang berjaya menahannya.
Penduduk bersembunyi manakala pelancong berlindung di hotel ketika ahli kartel mencetuskan huru-hara di bandar tersebut.
Walaupun keadaan mula kembali tenang, banyak perniagaan masih ditutup pada Isnin.
Kerajaan menghantar tambahan 2,500 tentera ke Jalisco, menjadikan jumlah keseluruhan tentera di kawasan itu sebanyak 10,000 sejak Ahad lalu.
Di Aguillila, penduduk melaporkan sekatan jalan, manakala di Guadalajara, sekolah ditutup dan pengangkutan awam digantung.
Susulan peristiwa itu, amaran perjalanan dikeluarkan oleh United Kingdom (UK), Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan Australia kepada warganya.
Oseguera, 59 tahun, merupakan ketua kartel utama Mexico. Sebelum ini, ketua kartel yang ditahan termasuk Joaquin 'El Chapo' Guzman dan Ismael 'El Mayo' Zambada.
Operasi untuk menahan Oseguera dibantu oleh maklumat pihak berkuasa AS dan teman wanita lelaki itu.