Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Setiap kali acara RXZ Members berlangsung, bukan sahaja ribuan penunggang motosikal menjadi perhatian, malah kepulangan suami personaliti media sosial dan usahawan kosmetik, MUA Bellaz, turut menjadi 'siaran langsung' yang dinanti-nantikan ribuan warganet.
Malah, ada yang menganggap mereka seperti 'CCTV bergerak' kerana sentiasa mengemas kini lokasi suaminya sepanjang perjalanan.
Semalam, tular satu sesi siaran langsung TikTok MUA Bellaz atau nama sebenarnya Nabilah Zulyadaini yang memaparkan detik kepulangan suaminya, Anuar Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat Nuart, selepas menyertai RXZ Members 8.0 di Gong Badak, Terengganu.
Mat Nuart yang menunggang motosikal 500cc dua lejang (2-stroke) memulakan perjalanan dari Alor Setar ke Gong Badak sebelum pulang semula ke Kedah.
Siaran langsung tersebut mendapat perhatian luar biasa apabila mencecah kira-kira 116,000 tontonan sekitar jam 11 malam.
Lebih mencuri perhatian apabila Mat Nuart membawa pulang seekor penyu sebagai hadiah buat anak-anaknya dari Terengganu.
Walaupun baru selesai menempuh perjalanan jauh, riak wajahnya jelas menggambarkan kegembiraan apabila disambut isteri serta anak-anak sebaik tiba di rumah.
Dalam masa sama, seorang pengguna Threads, @farahsyuhaida_, berkata dia sendiri turut 'terjebak' menunggu kepulangan Mat Nuart menerusi siaran langsung tersebut.
"Dah dengan aku-aku sekali terjebak tunggu Mat Nuart balik. 100k woo views," tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengakui mereka turut mengikuti siaran langsung itu sehingga Mat Nuart selamat tiba di rumah.
"Sama! Siap nak tengok kejadian penyu tu. Hahahaha, comel je semua tunggu. CCTV HQ," kata pengguna @theonlyhasyaa.
Sementara itu, pengguna @byaishsyah pula berseloroh bahawa perjalanan Mat Nuart seolah-olah dipantau ribuan 'kamera litar tertutup'.
"Hahahaha ramai betul tunggu ketibaan Mat Nuart ni. Dia pergi ride macam ada 100K CCTV ikut dia dari Kedah-Ganu-Kedah," ujarnya.
Terdahulu, MUA Bellaz pernah berkongsi bahawa setiap kali berlangsung acara RXZ Members, dia akan meminta para pengikutnya menandakan (mention) akaun TikTok miliknya sekiranya terserempak dengan Mat Nuart sepanjang perjalanan.
Menurutnya, perkara itu dilakukan kerana bimbang akan keselamatan suaminya yang menunggang motosikal dalam perjalanan jauh.
Malah, selepas acara berakhir, Bellaz turut mengumpulkan semua gambar dan video kiriman pengikut sebagai tanda penghargaan atas keprihatinan mereka.
Dalam pada itu, Mat Nuart menerusi satu hantaran di Threads semalam turut berterima kasih kepada rakyat Terengganu atas layanan yang diberikan sepanjang program RXZ Members 8.0.
"Alhamdulillah... hampir melabuh tirai #RXZMembers8.0. Terima kasih semua warga Terengganu yang menyambut kami. Semoga Allah membalas jasa kalian di negeri bahagia ini.
"Terima kasih juga buat isteri-isteri di luar sana yang sentiasa menyokong hobi suami masing-masing. Terima kasih Na @muabellaz... CCTV hang punya pukulan sampai Mat Nuart. Memang saya surrender, hampa tak bagi can Mat Nuart korek hidung langsung walaupun hidung gatal merenyam dah," katanya dalam nada berseloroh.
Seorang lagi pengguna TikTok, Mohd Fazli Bin Abd Rahman, berkata dia lega melihat Mat Nuart selamat tiba di rumah.
"Alhamdulillah dah sampai. Ngam-ngam sampai dapat tengok train kak," katanya.
Sementara itu, seorang pengguna lain turut menyifatkan pengaruh RXZ Members semakin luar biasa.
"Tengok betapa hebat RXZ Members, orang ada Lamborghini pun pergi," katanya.
Untuk rekod, RXZ Members 8.0 tahun ini menghimpunkan hampir 200,000 peserta dan pengunjung, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara himpunan motosikal terbesar di Malaysia.
Edisi kali ini turut disertai ramai pempengaruh terkenal tanah air serta beberapa tokoh, antaranya Ustaz Ahmad Yusof dan Tokoh Maal Hijrah Perlis, Adib ESR, yang sama-sama memeriahkan acara tahunan berkenaan.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan