Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hilang Sebelah Kaki Bukan Penghalang, Haziera Kini Selangkah Dekati Impian Wakili Malaysia

HAZIERA
Kredit: Instagram Taufiq Johari

Hilang Sebelah Kaki Bukan Penghalang, Haziera Kini Selangkah Dekati Impian Wakili Malaysia

Kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan tidak pernah memadamkan impian adik Nik Haziera Saffiya untuk mengharumkan nama negara.

Sebaliknya, ujian yang dilalui menjadi titik tolak kepada semangat baharu apabila dia kini selangkah lebih dekat untuk merealisasikan cita-citanya sebagai atlet para kebangsaan.

Kredit: Instagram Taufiq Johari

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, semangat juang yang ditunjukkan remaja itu membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.

Katanya dalam satu hantaran di Instagram baru-baru ini, kemalangan yang meragut sebelah kaki Haziera bukanlah pengakhiran sebuah kehidupan, sebaliknya menjadi permulaan kepada sebuah perjuangan yang lebih besar.

Menurut beliau, di sebalik kesakitan yang terpaksa ditempuhi, Haziera memilih untuk bangkit membantu keluarga dengan berniaga, meneruskan latihan dan tidak pernah memadamkan impiannya untuk menyarung jersi negara.

Ujarnya, antara detik yang paling menyentuh hati ialah apabila Haziera berjanji kepada ibunya bahawa dia mahu memenangi dua pingat emas dan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Beliau berkata, kunjungannya ke kediaman bapa Haziera, Nik Husmadi, dan ibunya, Noriah Adjun di Temerloh baru-baru ini bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya bagi menyampaikan surat pelantikan Haziera sebagai atlet Program Latihan Pelapis Kebangsaan Para Lawan Pedang.

"Saya hadir membawa satu amanah negara untuk menyerahkan surat lantikan adik Haziera sebagai atlet Program Latihan Pelapis Kebangsaan Para Lawan Pedang.

"Namun saya pulang membawa sesuatu yang jauh lebih besar daripada itu, iaitu sebuah kisah tentang harapan, tentang seorang anak yang enggan menyerah kepada takdir, sebuah keluarga yang tidak pernah berhenti percaya dan seorang anak Malaysia yang memilih untuk terus berjuang demi negara yang dicintainya," katanya.

Kredit: Instagram Taufiq Johari

Menurut Dr Mohammed Taufiq, kisah Haziera membuktikan setiap ujian yang diberikan mempunyai hikmah yang tersendiri.

Beliau berkata, apabila Allah SWT mengambil sesuatu daripada kehidupan seseorang, ia bukan semestinya satu hukuman, sebaliknya mungkin menjadi jalan untuk membentuk jiwa yang lebih kuat serta membuka ruang kepada rezeki dan peluang yang tidak pernah disangka.

"Saya mendoakan agar adik Haziera terus dikurniakan kekuatan, kesihatan dan ketabahan untuk mengejar cita-citanya mengharumkan nama Malaysia.

"Saya juga percaya seluruh rakyat Malaysia turut mendoakan kejayaannya agar impian menyarung jersi negara dan membawa pulang pingat emas suatu hari nanti menjadi kenyataan," ujarnya.

Intipati
  • Nik Haziera Saffiya dilantik menyertai Program Latihan Pelapis Kebangsaan Para Lawan Pedang.
  • Dr Mohammed Taufiq Johari menyerahkan surat pelantikan itu ketika melawat keluarganya di Temerloh.
  • Haziera terus berlatih dan berhasrat mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan