Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

13,309 Individu Berjaya Kembali Bekerja Melalui MYFutureJobs Tahun Ini
Seramai 13,309 individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini berjaya memperoleh pekerjaan semula melalui pelbagai intervensi pasaran buruh yang dilaksanakan kerajaan menerusi platform MYFutureJobs.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan bahawa jumlah tersebut mewakili kira-kira 31 peratus daripada keseluruhan individu yang kehilangan pekerjaan setakat tahun ini.
Menurut KESUMA, fokus kerajaan bukan sekadar memantau dan mengurus isu kehilangan pekerjaan. Malah, turut memastikan mereka yang terjejas dapat kembali memasuki pasaran pekerjaan melalui pelbagai inisiatif yang komprehensif dan berkesan.
Berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga 12 Jun 2026, seramai 13,309 individu berjaya mendapatkan pekerjaan semula hasil usaha padanan pekerjaan yang dilaksanakan kerajaan.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 62,644 penempatan pekerjaan yang berjaya direalisasikan menerusi portal MYFutureJobs. Ia sekali gus membuktikan keberkesanan platform berkenaan dalam membantu pencari kerja mendapatkan peluang pekerjaan yang sesuai.
KESUMA memaklumkan, kebanyakan individu yang berjaya ditempatkan semula bekerja dalam sektor perkhidmatan, diikuti sektor pembuatan dan pembinaan. Keadaan itu menunjukkan permintaan tenaga kerja dalam sektor-sektor utama ekonomi negara masih kekal kukuh.
Dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, PERKESO turut memperkukuh pelaksanaan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bagi membantu pencari kerja memperoleh kemahiran baharu yang selari dengan keperluan industri semasa.
Sehingga kini, seramai 2,697 Orang Berinsurans (OB) telah diluluskan untuk mengikuti program peningkatan kemahiran dan latihan semula yang ditawarkan.
Majoriti peserta mengikuti kursus berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), diikuti bidang perdagangan borong dan runcit serta program pensijilan kemahiran yang memenuhi keperluan industri pembuatan.
Menurut KESUMA, pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dalam membantu individu yang terkesan mendapatkan semula sumber pendapatan dan meneruskan kehidupan mereka.
Selain menyediakan perkhidmatan padanan pekerjaan melalui MYFutureJobs, PERKESO juga menawarkan khidmat kaunseling kerjaya, bantuan mobiliti pekerjaan serta perlindungan sosial menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
Pada masa sama, KESUMA terus memperkukuh pembangunan bakat dan kemahiran tenaga kerja negara melalui pelbagai program yang diterajui oleh PERKESO, HRD Corp, TalentCorp, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) bagi memenuhi keperluan industri serta perubahan ekonomi semasa.
Kementerian itu turut menjelaskan bahawa pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) 2026 membantu memperluaskan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan mempercepatkan proses penempatan semula pekerja yang terjejas.
KESUMA menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan pasaran buruh secara proaktif serta bekerjasama rapat dengan majikan, industri dan rakan strategik bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan untuk rakyat.
Menurut kementerian itu, Kerajaan MADANI kekal komited memastikan setiap rakyat yang ingin bekerja mempunyai akses kepada peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan perlindungan sosial yang sewajarnya demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara.