Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Juruteknik Catat Penawaran Kerja Tertinggi Bidang TVET, STEM

Juruteknik Penawaran Kerja
Gambar: Department of Statistics, Malaysia

Juruteknik Catat Penawaran Kerja Tertinggi Bidang TVET, STEM

Jawatan juruteknik merekodkan jumlah penawaran pekerjaan tertinggi dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada suku pertama tahun 2026, menurut laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menerusi terbitan Analisis Data Raya: Job Market Insights Penawaran Pekerjaan Diiklankan Dalam Talian di Malaysia, ST1 2026, sebanyak 6,505 penawaran pekerjaan direkodkan bagi jawatan juruteknik sepanjang tempoh tersebut.

Keseluruhan penawaran kerja yang diiklankan secara dalam talian meningkat 6.6 peratus

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, keseluruhan penawaran pekerjaan yang diiklankan secara dalam talian meningkat sebanyak 6.6 peratus kepada 626,861 pada suku pertama 2026 berbanding suku sebelumnya.

Bagaimanapun, bilangan syarikat yang mengiklankan kekosongan pekerjaan menurun sedikit daripada 80,287 pada suku keempat 2025 kepada 79,499 pada suku pertama tahun ini.

"Penawaran pekerjaan dalam talian tertumpu kepada kategori Profesional, merangkumi 50.4 peratus atau 315,768 penawaran pekerjaan pada suku pertama 2026, berbanding 272,698 penawaran pekerjaan pada suku keempat 2025.

"Kategori Pengurus merekodkan 99,447 penawaran, diikuti oleh Juruteknik dan Profesional Bersekutu dengan 93,987 penawaran pekerjaan.

"Permintaan yang lebih tinggi diperhatikan bagi Profesional Pengiklanan dan Pemasaran (48,186 penawaran pekerjaan), diikuti Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif (26,869 penawaran pekerjaan), Profesional Bersekutu Pentadbiran (26,257 penawaran pekerjaan), Akauntan dan Juruaudit (24,784 penawaran pekerjaan) serta Pembangun Perisian (20,089 penawaran pekerjaan)," jelasnya.

Sektor perkhidmatan terus mendominasi

Laporan itu turut menunjukkan sektor Perkhidmatan kekal sebagai sektor utama yang menawarkan peluang pekerjaan dengan 494,182 kekosongan atau 78.8 peratus daripada keseluruhan penawaran pekerjaan.

"Sektor Perkhidmatan terus mendominasi dengan 78.8 peratus atau 494,182 penawaran pekerjaan pada suku pertama 2026, berbanding 84.4 peratus pada suku keempat 2025," tambah beliau.

Dalam sektor tersebut, subsektor Perdagangan Borong dan Runcit serta Pembaikan Kenderaan Bermotor dan Motosikal mencatat jumlah tertinggi dengan 176,508 penawaran pekerjaan.

Ia disusuli Aktiviti Profesional, Saintifik dan Teknikal (69,796), Aktiviti Pentadbiran dan Khidmat Sokongan (53,784), Aktiviti Pembuatan (41,263) serta Aktiviti Penginapan dan Perkhidmatan Makanan dan Minuman (38,883).

Juruteknik mendahului dalam TVET, STEM

Bagi bidang TVET, tiga pekerjaan yang mencatat penawaran tertinggi ialah Juruteknik dengan 6,505 kekosongan, diikuti Jurutera (6,080) dan Pengurus Jualan (5,755).

Trend yang sama turut dilihat dalam bidang STEM apabila jawatan Juruteknik sekali lagi mencatat jumlah penawaran tertinggi sebanyak 6,505 pekerjaan, diikuti Jurutera (6,080) dan Pengurus Akaun (4,787).

Sementara itu, bagi Senarai Pekerjaan Kritikal (Critical Occupations List atau COL), jawatan Eksekutif Jualan merekodkan penawaran tertinggi dengan 9,590 kekosongan pekerjaan. Ia diikuti Eksekutif Akaun (7,088) dan Penolong Pengurus (6,681).

Atasi 197 negara lain, Malaysia no. 1 dunia dalam laporan ODIN 2024/25

Dalam perkembangan berkaitan, DOSM kini sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) bertemakan “Data Nadi Ekonomi Rakyat” yang berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Oktober 2026.

Banci tersebut bertujuan mengumpul data menyeluruh daripada pertubuhan perniagaan berdaftar dan tidak berdaftar di seluruh negara bagi menilai prestasi, struktur serta ciri-ciri ekonomi Malaysia secara lebih komprehensif.

Malaysia turut mencatat kejayaan membanggakan apabila menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 yang diterbitkan oleh Open Data Watch, mengatasi 197 negara lain dan melonjak daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian terdahulu.

Orang ramai juga boleh mengakses pelbagai data dan visualisasi statistik negara melalui portal OpenDOSM NextGen yang disediakan oleh DOSM.