Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPKT Salur RM216.44 Juta Perkasa Infrastruktur Dan Kesejahteraan Rakyat Johor

KPKT Salur RM216.44 Juta
Kredit: KPKT

KPKT Salur RM216.44 Juta Perkasa Infrastruktur Dan Kesejahteraan Rakyat Johor

JOHOR BAHRU, 25 Jun 2026 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan  (KPKT) menyalurkan peruntukan berjumlah RM216.44 juta kepada Negeri Johor bagi  memperkukuh pembangunan perumahan, kemudahan awam dan kesejahteraan  rakyat menerusi Program Pembangunan KPKT RMK 13 RP1 Tahun 2026. 

Peruntukan tersebut diumumkan sempena lawatan kerja rasmi Menteri Perumahan  dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming ke Johor menerusi siri jelajah  Sentuhan Kasih KPKT 4.0 yang berlangsung selama dua (2) hari pada 25 dan 26  Jun 2026.

Kredit: KPKT

Simbolik penyerahan peruntukan telah disempurnakan kepada PMgr. Sr.  Ts. Dr. Haji Mohamed Ali bin Mohamed Abu Backer, Pengarah Penilaian dan  Pengurusan Harta, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri selaku wakil Kerajaan Negeri  Johor semasa lawatan YB Menteri ke Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA),  Iskandar Puteri. 

Menurut YB Tuan Nga Kor Ming, peruntukan RM216.44 juta ini membuktikan  komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat Johor menikmati  akses kepada perumahan yang berkualiti, kemudahan awam yang selesa serta  persekitaran kehidupan yang lebih mampan dan sejahtera. 

Peruntukan yang disalurkan meliputi pelbagai inisiatif strategik merangkumi  pembangunan perumahan rakyat, penyelenggaraan perumahan strata, kemudahan  awam, keselamatan komuniti, pengurusan sisa pepejal, pembangunan bandar dan  desa serta program kesejahteraan masyarakat yang memberi manfaat secara  langsung kepada rakyat Johor. 

Kredit: KPKT

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebahagian besar peruntukan disalurkan bagi  memperkukuh agenda perumahan rakyat termasuk pelaksanaan Rumah Malaysia  (Disewa), Program Perumahan Rakyat (PPR), Program Residensi Rakyat (PRR),  Pembangunan Perumahan Inklusif MADANI (PIM), Program Penyenggaraan  Perumahan (PPP), Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan  Program Rumah Mesra Rakyat (RMR). 

Selain itu, KPKT turut memperuntukkan dana bagi menaik taraf kemudahan awam  dan infrastruktur komuniti termasuk pasar awam, gerai MADANI, sistem perparitan,  tandas awam BMW, taman rekreasi, balai bomba dan penyelenggaraan kawasan perumahan.

Kredit: KPKT

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kualiti  hidup rakyat di seluruh negeri Johor. 

Kredit: KPKT

Dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan mampan, peruntukan turut  disalurkan bagi pelaksanaan projek pengurusan sisa pepejal, penutupan selamat  tapak pelupusan, pembangunan landskap awam serta penyediaan perancangan  pembangunan bandar dan desa yang lebih teratur, mampan dan berdaya tahan. 

KPKT juga terus memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan komuniti melalui  pelaksanaan Program Baik Pulih Rumah di Bandar, Inisiatif Penyelenggaraan Rumah  Ibadat Bukan Islam (RIBI) dan Projek Pembangunan Kampung Baru yang bertujuan  meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan serta memperkukuh perpaduan  komuniti setempat. 

Sepanjang lawatan kerja ini, YB Nga Kor Ming turut meninjau pelbagai projek  pembangunan dan kemudahan awam di beberapa daerah termasuk Johor Bahru,  Iskandar Puteri, Kulai, Kluang dan Batu Pahat yang melibatkan projek perumahan  rakyat, kemudahan komuniti, pasar awam, taman rekreasi, rumah ibadat bukan Islam  dan pembangunan infrastruktur tempatan. 

Kredit: KPKT

YB Nga Kor Ming menegaskan, KPKT akan terus memperkukuh kerjasama strategik  bersama Kerajaan Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan  setiap projek dilaksanakan secara cekap, telus dan berimpak tinggi demi manfaat  rakyat.