Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sebanyak 14 projek pembangunan pendidikan di Terengganu berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus membolehkan murid menikmati kemudahan prasarana baharu lebih cepat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pencapaian itu bukan sekadar kejayaan dari sudut pengurusan projek, sebaliknya memberi manfaat secara langsung kepada murid yang menantikan kemudahan pendidikan berkenaan.
Menurutnya, tempoh yang dijimatkan menerusi projek terbabit perlu dilihat sebagai masa yang dikembalikan kepada murid untuk menggunakan prasarana baharu bagi menyokong proses pembelajaran.
“Yang kita dengar selalu projek lewat beberapa bulan, minta lanjutan masa atau ada yang akhirnya menjadi projek sakit.
“Pagi ini di SMK Tok Jembal, Terengganu saya mahu kita bercakap pula tentang cerita yang sebaliknya.
“14 projek pembangunan pendidikan, kesemuanya siap mendahului jadual,” katanya menerusi kenyataan selepas menghadiri Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Mendahului Jadual semalam.
Jelas Fadhlina, sekiranya sesebuah projek dapat disiapkan tiga bulan lebih awal, tempoh itu turut bermakna murid dapat menggunakan kemudahan berkenaan tiga bulan lebih awal.
“Dalam dunia pendidikan, masa yang kita jimatkan bukan sekadar angka dalam jadual projek. Ia adalah masa yang kita pulangkan untuk pembangunan anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Terengganu sememangnya mempunyai rekod kecemerlangan pendidikan dengan negeri itu konsisten mencatat pencapaian membanggakan.
Katanya, usaha gigih murid dan guru perlu disokong dengan pembangunan fizikal pendidikan yang turut bergerak pada tahap sama.
“Anak-anaknya bekerja keras, guru-gurunya bekerja keras, maka akan menjadi tanggungjawab kita memastikan pembangunan fizikal pendidikan turut bergerak dengan kesungguhan yang sama,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), pasukan Kementerian Pendidikan (KPM) serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek berkenaan dapat disiapkan lebih awal.
“Saya ucapkan tahniah kepada Jabatan Kerja Raya, pasukan Kementerian Pendidikan dan semua yang bekerja di belakang tabir. Ini budaya kerja yang kita mahu bina,” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan