Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Usaha memperkukuh disiplin dan membanteras budaya buli di institusi pendidikan terus dipergiat apabila seramai 16 bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal memulakan tugas sebagai warden sepenuh masa di lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih bermula Rabu ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penempatan tersebut diharap mampu meningkatkan tahap disiplin pelajar selain memastikan kes buli dapat dibendung dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, langkah itu merupakan fasa kedua pelaksanaan program pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan veteran ATM selepas projek rintis dilaksanakan di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau sejak Oktober tahun lalu.
“Bagi keperluan semasa, jumlah keseluruhan adalah 32 warden untuk lapan MRSM, membabitkan dua lelaki dan dua wanita bagi setiap maktab.
“Untuk fasa pertama, seramai 16 warden lelaki akan mula bertugas pada 1 Julai 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Katanya, bagi calon wanita pula, seramai 162 permohonan telah diterima dengan ujian secara dalam talian berlangsung pada 25 Jun lalu, manakala sesi temu duga fizikal dijadualkan pada 2 Julai.
Beliau berkata, pelantikan warden wanita dijangka dibuat sedikit lewat berbanding calon lelaki tertakluk kepada proses tapisan yang sama.
Menurut Asyraf, proses pemilihan calon dilaksanakan secara bersama oleh Glokal Link Sdn Bhd (GLSB) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp Malaysia serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling ATM.
Katanya, sesi temu duga fizikal telah diadakan pada 15 dan 16 Jun di Institut Kemahiran Tinggi MARA Kepong membabitkan 147 calon termasuk 139 calon lelaki yang berjaya melepasi tapisan awal.
Beliau berkata, sebelum menghadiri temu duga, semua calon telah melalui semakan status veteran, rekod jenayah serta latar belakang disiplin bagi memastikan hanya individu benar-benar layak dipilih.
Tambahnya, pemilihan tidak hanya bergantung kepada temu duga semata-mata, sebaliknya turut melibatkan ujian psikometrik, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan BMI serta ujian kecergasan.
“Sebelum surat tawaran dimuktamadkan, calon akhir juga akan melalui penilaian akhir bersama pegawai psikologi atau kaunselor ATM termasuk aspek perlindungan kanak-kanak, risiko salah laku seksual, kawalan impuls dan kesesuaian psikologi untuk ditempatkan di asrama MRSM,” katanya.
Asyraf menegaskan, MARA hanya akan melantik calon yang benar-benar bersih, berintegriti dan sesuai untuk menjaga pelajar.
Katanya, program tersebut akan diperluaskan secara berperingkat ke semua 58 MRSM di seluruh negara dengan fasa ketiga dijadualkan bermula pada 1 Januari 2027.