Sebanyak 19 kes melibatkan 12 ahli politik diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah seluruh negara bagi tempoh 2010 hingga Julai 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah berkenaan berdasarkan semakan rekod kes jenayah di mahkamah yang diterima daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP).
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta jumlah kes pertuduhan jenayah membabitkan ahli politik dan pemimpin berprofil tinggi yang diberikan DNAA dalam tempoh berkenaan, termasuk individu terlibat serta jenis pertuduhan dikenakan.
Menurut Azalina, rekod berkenaan menunjukkan 19 kes melibatkan 12 ahli politik telah diberikan DNAA di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah seluruh Malaysia.
Bagaimanapun, jawapan bertulis itu tidak menyenaraikan nama 12 ahli politik terbabit mahupun butiran pertuduhan bagi setiap kes.
Sebaliknya, Azalina berkata, sebarang maklumat lanjut berkaitan kes tertentu boleh dirujuk terus kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mempunyai rekod dan maklumat berkaitan pendakwaan kes berkenaan.
“Untuk penjelasan, DNAA tidak terjumlah kepada suatu pembebasan daripada pertuduhan,” katanya.
Jelasnya, mengambil kira konteks bahawa kes jenayah tidak tertakluk kepada tempoh had masa seperti kes sivil, seseorang yang diberikan DNAA masih boleh didakwa semula atas pertuduhan sama sekiranya pihak pendakwaan memutuskan untuk berbuat demikian berdasarkan fakta, keterangan dan perkembangan kes.
Antara kes DNAA yang mendapat perhatian sebelum ini termasuk membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi pada 2023.
Turut mendapat perhatian ialah kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International pada 2025.
Zahid kini merupakan Timbalan Perdana Menteri, manakala Najib ialah bekas Perdana Menteri.


