Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memperkukuh usaha pencegahan awal dengan mengenal pasti serta menangani risiko dan kelemahan yang berpotensi membuka ruang kepada amalan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kejayaan suruhanjaya itu tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah siasatan, tangkapan atau pertuduhan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira hasil, perubahan dan impak daripada tindakan yang dilaksanakan.
“Kerjasama antara fungsi penguatkuasaan dan pencegahan perlu terus diperkukuh supaya maklumat, risikan serta pengalaman dapat dikongsi dan diterjemahkan kepada tindakan yang lebih pantas, tepat dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM Bil. 3/2026 di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Menurutnya, tumpuan perlu diberikan kepada kelemahan proses kerja, ruang budi bicara, akses kepada sumber serta keberkesanan kawalan dan mekanisme pemantauan sedia ada yang berpotensi mewujudkan risiko rasuah.
“Teknologi, data dan analitik juga perlu dimanfaatkan secara optimum bagi membantu SPRM mengenal pasti pola, trend dan risiko dengan lebih awal, sekali gus membolehkan tindakan pencegahan dan intervensi dilaksanakan dengan lebih tepat,” katanya.
Abd Halim berkata, bentuk rasuah dan salah guna kuasa sentiasa berubah seiring perkembangan teknologi serta kaedah baharu, sekali gus menuntut pendekatan SPRM yang lebih dinamik dan responsif.
Pada masa sama, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh keupayaan warga SPRM menerusi peningkatan kemahiran analitikal, pemahaman undang-undang serta penghayatan terhadap nilai integriti dan profesionalisme.
Beliau turut menggalakkan warga SPRM supaya berani menyuarakan pandangan, melaporkan kelemahan serta memaklumkan risiko yang dikenal pasti bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Organisasi yang kukuh ialah organisasi yang berani mengenal pasti dan menyelesaikan masalah secara terbuka, profesional dan bertanggungjawab,” katanya.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman.
Turut hadir pengarah-pengarah kanan, pengarah-pengarah bahagian serta pengarah SPRM negeri.

