Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

5 Perkara Ini Jangan Sesekali 'Tanya' Atau 'Beritahu' Pada ChatGPT

Chatgpt
Kredit: ChatGPT

Tidak dinafikan, Artificial Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan sememangnya banyak membantu dalam urusan harian.

Baik dalam mencari maklumat atau menyelesaikan kerja hakiki di pejabat.

Namun, kadang-kadang kita terlalu selesa berkongsi macam-macam dengan ChatGPT dalam pelbagai aspek.

Malah, aplikasi ini juga menjadi tempat meluahkan masalah peribadi, ibarat peneman maya.

Tapi pernah tak fikir, benda yang dikongsikan itu sesuai dengan chatbot? Di sinilah persoalannya bermula.

Walaupun ChatGPT boleh membantu banyak urusan, maklumat yang dimasukkan ke dalam platform dalam talian tetap perlu dikendalikan dengan berhati-hati.

5 Perkara Ini Jangan Luah Pada ChatGPT

Jadi, sebelum menaip apa-apa, ini 5 perkara yang sebaiknya jangan sesekali dikongsi dengan ChatGPT atau chatbot awam lain.

1. Permintaan menyalahi undang-undang atau tidak beretika

Kebanyakan chatbot AI mempunyai sistem kawalan yang direka untuk menghalang pengguna membuat permintaan yang tidak bermoral atau menyalahi undang-undang.

Jika anda bertanya tentang perkara seperti jenayah, penipuan atau cara memanipulasi orang lain, anda boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sebagai contoh, undang-undang AI di China melarang penggunaan AI untuk menggugat kestabilan negara. Di Kesatuan Eropah pula, Akta AI (EU AI Act) mewajibkan semua imej atau video “deepfake” dilabelkan dengan jelas.

Di United Kingdom, Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act) menjadikan penyebaran imej berunsur ‘eksplisit’ yang dijana AI tanpa kebenaran sebagai satu kesalahan jenayah.

Oleh itu, elakkan daripada menggunakan ChatGPT untuk meminta maklumat atau bantuan dalam perkara yang melanggar undang-undang atau boleh membahayakan orang lain.

2. Maklumat log masuk & kata laluan

Kemunculan AI berautonomi (agentic AI) kini membolehkan chatbot mengakses perkhidmatan luar atau pihak ketiga.

Namun, memberikan maklumat log masuk seperti nama pengguna dan kata laluan kepada sistem awam sangat berisiko.

Ada kes di mana data peribadi pengguna bocor dan muncul dalam jawapan yang diberikan kepada orang lain. Situasi ini boleh menjejaskan privasi serta keselamatan pengguna.

Oleh itu, elakkan daripada berkongsi sebarang maklumat akaun atau log masuk dengan AI, kecuali anda benar-benar yakin sistem tersebut selamat dan terkawal.

3. Maklumat kewangan

Sama seperti maklumat log masuk, maklumat kewangan seperti nombor akaun bank, kad kredit atau butiran transaksi tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam ChatGPT atau mana-mana chatbot awam.

Ini kerana sistem ChatGPT tidak direka untuk memproses data sensitif secara selamat seperti platform perbankan atau e-dagang.

Walaupun OpenAI menggunakan langkah keselamatan moden (termasuk penyulitan encryption in transit dan at rest untuk melindungi data daripada akses tidak sah), tiada jaminan bahawa maklumat peribadi atau kewangan akan dipadam serta-merta atau tidak disimpan untuk tujuan analisis model.

Oleh itu, perkongsian data kewangan boleh meningkatkan risiko kecurian identiti, penipuan atau penyalahgunaan maklumat jika ia jatuh ke tangan pihak ketiga yang berniat jahat.

4. Maklumat sulit & rahsia syarikat

Setiap individu bertanggungjawab menjaga kerahsiaan maklumat sulit, sama ada berkaitan pekerjaan, perniagaan atau pelanggan. Ini termasuk fail dalaman, minit mesyuarat serta rekod transaksi.

Kes Samsung pada tahun 2023, misalnya, menjadi contoh apabila pekerjanya didapati berkongsi maklumat dalaman syarikat dengan ChatGPT, lapor Forbes. Tindakan ini berpotensi melanggar perjanjian kerahsiaan (NDA).

Walaupun ChatGPT boleh membantu menganalisis data, memuat naik dokumen sulit tanpa kawalan keselamatan boleh menyebabkan kebocoran maklumat atau pelanggaran undang-undang perniagaan.

5. Maklumat perubatan & kesihatan

Ramai pengguna tergoda untuk bertanya kepada ChatGPT tentang penyakit atau rawatan kesihatan, namun ini perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Versi terkini ChatGPT boleh ‘mengingati’ maklumat perbualan lepas dan menghubungkannya dengan sesi baharu untuk memahami konteks pengguna. Walau bagaimanapun, tiada jaminan bahawa maklumat ini akan kekal peribadi.

Oleh itu, sebarang data kesihatan atau rekod pesakit tidak wajar dikongsi. Ini terutama bagi institusi kesihatan yang boleh dikenakan denda besar sekiranya maklumat pesakit terdedah kepada umum.

Sumber:Forbes
Intipati
  • Pengguna dinasihatkan tidak berkongsi permintaan menyalahi undang-undang atau tidak beretika dengan chatbot.
  • Maklumat log masuk dan kewangan tidak wajar dimasukkan kerana berisiko menjejaskan keselamatan pengguna.
  • Dokumen sulit syarikat dan data kesihatan perlu dielakkan bagi melindungi privasi serta kerahsiaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan