Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

22,457 Pendatang Asing Tanpa Izin Direkodkan Sertai B4G Di Johor

Gambar: Bernama

JOHOR BAHRU, 31 Dis (Bernama) — Seramai 22,457 pendatang asing tanpa izin direkodkan menyertai program pulang ke negara asal ‘Back For Good’ (B4G) di negeri ini, sejak 1 Ogos sehingga Ahad lepas.

Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata kesemua mereka terdiri daripada pelbagai warganegara terutamanya Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan.

“Di Johor, para pendatang asing tanpa izin memohon menyertai B4G ini di 10 kaunter yang dibuka di Jabatan Imigresen Johor di Wisma Persekutuan, di sini.

Bagi memastikan kelancaran, kita (Jabatan Imigresen Johor) menempatkan 22 pegawai bagi menguruskan dan memantau permohonan berkenaan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Baharuddin berkata pada Ogos lepas seramai 2,650 orang pendatang asing tanpa izin direkodkan menyertai program itu, diikuti 3,075 orang pada September, Oktober (3,237), November (4,551) dan Disember (8,944).

Beliau berkata setakat ini tiada sebarang insiden atau kekasaran dilaporkan berlaku di 10 kaunter permohonan yang dibuka itu.

“Tempoh operasi kaunter adalah sehingga 10 malam hari ini. Sehubungan itu, saya menasihati pendatang asing tanpa izin yang masih belum menyertai program ini supaya memanfaatkan peluang ini (B4G) untuk pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Menurut Baharuddin, mulai esok, Jabatan Imigresen akan mengadakan operasi penahanan secara besar-besaran terhadap pendatang asing tanpa izin yang berada di negara ini.

Program B4G bertujuan memberi peluang kepada warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat yang ditetapkan.

Mereka hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing dan menyerahkan kepada pejabat imigresen untuk diproses.

Selain itu, mereka perlu menyediakan bayaran kompaun sebanyak RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu.

Sumber: Bernama