3 Minggu Tahan Sakit, Lelaki Tak Sedar Penyepit Kayu Tertusuk Pada Soket Mata Kiri
Seorang lelaki di Vietnam mengalami pengalaman luar biasa apabila penyepit kayu sepanjang sembila sentimeter tertusuk di soket mata kirinya selama tiga minggu tanpa disedarinya.
Menurut portal Oddity Central, individu yang tidak dikenali itu mendapatkan rawatan di Hospital Perubatan dan Farmasi Can Tho selepas mengadu sakit dan bengkak pada mata kirinya.
Difahamkan, simptom yang dialaminya sudah dirasai selama tiga minggu, namun ia menjadi semakin teruk dalam beberapa hari sebelum mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Sebelum ini, lelaki berusia 24 tahun itu pernah mendapatkan rawatan awal di sebuah fasiliti perubatan di kampung halaman, namun rawatan ubat tersebut tidak berkesan untuk menghilangkan kesakitan.
Hasil CT scan lelaki ini telah mengejutkan doktor
Dia kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Perubatan dan Farmasi Can Tho, di mana pemeriksaan awal mendapati penglihatannya adalah normal dan tidak menunjukkan sebarang kecederaan pada bola mata.
Bagaimanapun, doktor kemudiannya mengesahkan di sudut mata kirinya telah dijangkiti nanah kecil dan mengalami bengkak.
Menurut Oddity Central, terdapat objek asing sepanjang sembilan sentimeter telah dikenal pasti sebagai penyepit kayu yang tertusuk di soket mata kiri melalui hasil tomografi berkomputer (CT scan).
Perkara ini turut mengejutkan para doktor apabila penyepit kayu itu didapati menembusi tisu lembut di luar mata kiri, melalui dinding atas sinus maksila dan merosakkan dinding lateral rongga hidung.
Penyepit kayu berjaya dikeluarkan melalui pembedahan
Ketika ditanya bagaimana penyepit kayu tersebut boleh berada dalam soket matanya, lelaki itu hanya mengingati insiden ‘berlanggar’ dengan rakan ketika berpesta sambil minum alkohol.
Namun begitu, dia langsung tidak menyedari bahawa objek tersebut boleh mengakibatkan kecederaan serius seperti itu.

Oddity Central berkata, doktor berjaya mengeluarkan penyepit kayu tersebut melalui pembedahan Caldwell-Luc dan menjalankan endoskopi paranasal bagi memastikan tiada objek asing lain yang tertinggal sehingga boleh menyebabkan jangkitan.
Menurut pakar perubatan, lelaki berkenaan memiliki nasib yang baik kerana penyepit kayu tersebut tidak mencederakan bola mata, namun kecederaan seperti itu sangat berbahaya dan perlu mendapatkan rawatan segera.
BACA: Pesakit Temui Ajal, Gara-Gara Doktor Tersilap Buang Organ
Sumber: Oddity Central

