Pernah tak, tangguh kerja penting berhari-hari, tapi dapat siapkannya dalam beberapa jam sahaja bila tarikh akhir semakin dekat?
Atau, selalu terlupa pesanan orang lain walaupun baru sahaja mendengarnya beberapa minit sebelum itu?
Situasi sebegini mungkin nampak biasa, tetapi jika berlaku berulang kali sehingga mengganggu kehidupan, ada baiknya kita memahami puncanya dengan lebih mendalam.
Apa Itu ADHD?
ADHD atau Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder ialah gangguan perkembangan saraf yang mempengaruhi perhatian, kawalan impuls dan tahap aktiviti seseorang.
Menurut National Institute of Mental Health (NIMH), tak semua individu sedar yang mereka ni ada ADHD masa kecil, dan gejala ini berterusan sehingga dewasa.
ADHD tak semestinya sebabkan seseorang itu sentiasa bergerak atau sukar duduk diam sebab gejalanya berbeza mengikut individu.
Ada orang sukar mengekalkan perhatian, manakala sesetengahnya bergelut mengawal tindakan spontan atau berasa resah sepanjang masa.
Dalam kalangan orang dewasa, kesukaran ini boleh mempengaruhi pekerjaan, hubungan, pengurusan masa dan pelaksanaan tanggungjawab harian.

8 Tanda ADHD Dewasa Yang Ramai Tak Sedar
Public Health Malaysia juga menyeneraikan beberapa corak tingkah laku yang mungkin berkaitan dengan ADHD, tetapi ia tak semestinya boleh dijadikan panduan untuk membuat diagnosis keadaan ini.
1. Hanya Mula Bekerja Apabila Tarikh Akhir Semakin Dekat
Seseorang itu mungkin mengetahui sesuatu tugasan itu penting, tetapi tetap sukar memulakannya sehingga tekanan masa semakin mendesak.
2. Tugasan Kecil Pun Terasa Sukar Untuk Dimulakan
Balas e-mel, Bayar bil atau buat janji temu boleh rasa membebankan walaupun tugasan itu mudah dan hanya mengambil beberapa minit.
3. Selalu Tersalah Anggar Masa
Ada kalanya seseorang menyangka persiapan hanya mengambil masa 10 minit, sedangkan 40 minit sudah berlalu tanpa disedari.
4. Fokus Pada Perkara Menarik, Tetapi Sukar Menyiapkan Kerja Rutin
Seseorang itu mungkin mampu menghabiskan masa berjam-jam melakukan perkara diminati, tetapi sukar mengekalkan perhatian ketika membaca dokumen atau menyelesaikan tugasan berulang.
5. Fikiran Sentiasa Aktif Walaupun Badan Nampak Tenang
Sesetengah orang dewasa mengalami kegelisahan dalaman atau fikiran yang sukar diperlahankan, meskipun mereka tidak menunjukkan hiperaktif secara fizikal.
6. Mudah Terlupa Pesanan Dan Arahan
Seseorang mungkin mendengar arahan dengan jelas, tetapi sukar mengingati maklumat tersebut apabila perhatian mudah beralih kepada perkara lain.
7. Kerap Memulakan Banyak Perkara Tanpa Menyelesaikannya
Sebagai contoh, seseorang mula mengemas bilik, kemudian beralih menyusun dokumen sebelum menyelesaikan tugasan asalnya.
8. Kerap Mencelah Ketika Orang Lain Bercakap
Kesukaran menahan respons spontan boleh menyebabkan seseorang menyampuk perbualan atau menjawab sebelum orang lain selesai bercakap.
Bukan Semua Orang Yang Bertangguh Ada ADHD
Penting untuk difahami bahawa senarai ini bukan alat diagnosis kerana sesiapa sahaja boleh mengalami beberapa perkara tersebut sekali-sekala.
Menurut NIMH, gejala ADHD perlu berpanjangan sekurang-kurangnya enam bulan, berlaku dalam lebih daripada satu situasi dan menjejaskan fungsi kehidupan seseorang.
Gejala juga perlu mempunyai kaitan sejak zaman kanak-kanak, walaupun diagnosis hanya dibuat apabila individu sudah dewasa.
Kurang tidur, tekanan berpanjangan, keresahan dan kemurungan turut boleh menyebabkan masalah tumpuan atau ingatan yang kelihatan serupa.
Jika kesukaran ini berulang sehingga mengganggu pekerjaan, hubungan atau urusan harian, dapatkan penilaian daripada profesional kesihatan.
Memahami ADHD bukan bermaksud mencari alasan untuk setiap kelemahan, sebaliknya mengenal pasti punca kesukaran supaya sokongan dan rawatan yang sesuai dapat dipertimbangkan.

