Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2023 – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri hari ini merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2023. Persidangan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kali ini bertemakan Supercharge Your Way to Impact berlangsung pada 3 dan 4 Ogos 2023 bertempat di Connexion Bangsar South, Kuala Lumpur.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengumumkan 474 produk, teknologi dan perkhidmatan MCY telah berjaya dikomersialkan sepanjang tempoh tahun 2016 hingga 2022 di pasaran tempatan dan antarabangsa dengan nilai hasil melebihi RM540 juta. Di samping itu, penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai yang diterajui oleh MOSTI, telah berjaya menjana pulangan pelaburan dan perniagaan bernilai lebih daripada RM9 bilion.
MCY merupakan platform bagi mengiktiraf usahawan teknologi tempatan di atas kejayaan mereka mengkomersialkan produk hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) ke pasaran tempatan dan antarabangsa. Memasuki tahun ke-7 pelaksanaannya, MCY turut memasuki tahun ke-3 fasa MCY 3.0 bertemakan MCY Goes Global, sebuah inisiatif pengkomersialan hasil R&D&I tempatan ke peringkat global.

Anugerah MCY dibahagikan enam (6) kategori di mana penerima membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM1 juta berserta trofi dan sijil penghargaan. Selain itu, rakan penaja iaitu Valuing IP akan menawarkan perkhidmatan penilaian harta intelek kepada semua pemenang yang bernilai RM147,000.
Free the Seed Sdn. Bhd. dengan produk Biodegradable & Compostable Packaging Products made from Straw Cellulose Waste telah dinobatkan sebagai penerima Supreme Award, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000.00. Produk ini juga merangkul Anugerah Pencapaian Pengkomersialan dengan hadiah wang tunai bernilai RM130,000.00.
Produk pembungkusan ini menggunakan sisa pertanian iaitu bahan biojisim pulpa selulosa daripada jerami padi dan kualitinya telah dipertingkatkan mengikut piawaian penjagaan kesihatan Eropah.
(i) Anugerah Inovator Baharu – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui produk Harvast Photosynthesis Enhancer; (ii) Anugerah Usahawan Penyelidik – Syarikat SHE Empire Sdn. Bhd. (Syarikat spin-off Universiti Teknologi Malaysia) melalui produk NK Age-Reverse; (iii) Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan – Syarikat ACTS Smart Solutions Sdn. Bhd. melalui produk Structural Dynamic Monitoring for Ageing Offshore Platform; dan (iv) Anugerah Usahawan Sosial – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui produk Urbankit.
Satu pemenang hadiah saguhati dari setiap lima (5) kategori turut menerima hadiah wang tunai bernilai RM50,000.00 setiap satu berserta trofi dan sijil penghargaan.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan Malaysia Technology Commercialisation Platform (MATCH). MATCH adalah satu platform inovasi pengewangan yang akan menguhubungkan dan menawarkan penyelesaian yang menguntungkan pembekal teknologi dan pencari teknologi. MATCH akan membuka pintu kepada penyedia dan pencari teknologi untuk berhubung dan bertukar ilmu serta kepakaran bagi mempercepatkan proses komersialisasi teknologi di Malaysia.
Perdana Menteri juga menyaksikan pertukaran tiga (3) Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu antara MRANTI dengan AstraZeneca Malaysia, MRANTI dengan Eastern Academic Health Science Network (EAHSN), United Kingdom dan Fuciphagus Agritech Sdn. Bhd. dengan Eu Yan Sang serta satu (1) Memorandum Perjanjian (MoA) antara Free The Seed Sdn. Bhd. dengan Nissho Precision (Malaysia) Sdn. Bhd.
Beberapa syarikat berpotensi tinggi akan dikenal pasti oleh pihak MRANTI dan dihubungkan dengan AstraZeneca bagi mendapatkan fasilitasi lanjut seperti kemasukan ke program ekosistem eksklusif global A.Catalyst. Di samping itu, kedua-dua pihak juga akan berganding bahu dalam program-program sosial bagi merapatkan jurang akses kesihatan di Malaysia.
MoU antara MRANTI dan EAHSN akan mewujudkan jalinan kerjasama dalam mengenal pasti syarikat-syarikat yang berpotensi tinggi dalam sektor teknologi kesihatan di kedua-dua negara. Syarikat-syarikat ini akan diberikan fasilitasi dalam bidang penyedidikan dan pembangunan (R&D), kajian klinikal, akses kepada pasaran dan bantuan pembangunan lain.
Pertukaran MoA antara Free The Seed Sdn. Bhd. dan Nissho Precision (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi penggunaan produk pembungkusan yang mesra alam dan mampan untuk menggantikan penggunaan plastik oleh syarikat-syarikat Multinational (MNCs) seperti Panasonic Television Japan, SHARP dan aplikasi industri lain seperti Toyota Japan.
Kerjasama ini adalah melalui produk Biodegradable & Compostable Packaging from Plant Waste yang dihasilkan dengan menggunakan bioteknologi bagi menukar gentian selulosa sisa jerami padi kepada produk pembungkusan pakai-buang biodegradasi. Anggaran nilai MoA ini adalah RM50 juta.

YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapan aluannya berkata, “Dalam fasa MCY 3.0 yang dilaksanakan bagi tempoh dari 2021 hingga 2025, MOSTI telah menetapkan sasaran untuk mengkomersialkan sebanyak 400 lagi produk/ teknologi/ perkhidmatan hasil R&D&I tempatan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 produk/ teknologi/ perkhidmatan disasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa.”
Portal MCY yang baharu dengan modul Business Matching telah diwujudkan untuk memberi peluang kepada penyelidik dan startups berkongsi maklumat, memperkenalkan teknologi dan produk kepada bakal pelabur dan rakan strategik. Produk KPI Khas MCY, boleh dilayari di www.mcyportal.mosti.gov.my.
Sepanjang dua (2) hari sidang kemuncak berlangsung, pelbagai aktiviti lain yang menarik telah disediakan termasuk Ministerial Dialogue, pameran produk hasil R&D&I tempatan dan keusahawanan sosial, persidangan, forum dan sesi coaching/mentoring dengan penglibatan agensi-agensi seperti MRANTI, Cradle Fund, Malaysia Debt Ventures (MDV), Malaysian Technology Development Corporation) (MTDC), Malaysian Industry Group High Technology (MIGHT), Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan SIRIM Berhad.