Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

58 Ditahan Terbabit Judi Haram Sempena Piala Dunia Menerusi Op Soga XI

PIALA DUNIA
Kredit: Bernama

58 Ditahan Terbabit Judi Haram Sempena Piala Dunia Menerusi Op Soga XI

Seramai 58 individu terdiri daripada 54 lelaki dan empat wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram serta perjudian dalam talian sempena FIFA World Cup 2026 menerusi Op Soga XI.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata, kesemua suspek ditahan dalam 52 serbuan yang dijalankan sepanjang operasi bermula 11 Jun hingga 19 Jun lalu.

Menurut beliau, pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM25,684.65 selain merekodkan nilai pertaruhan sebanyak RM488,582.47.

Katanya, operasi tersebut turut mengesan sebanyak 42 laman sesawang termasuk laman web, platform, aplikasi dan media sosial yang digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak serta promosi perjudian.

“Justeru, tindakan sekatan laman web dan penurunan kandungan akan dibuat dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Kumar, semua tangkapan telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) berkaitan bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953.

Katanya, jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 serta penjara sehingga lima tahun.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun.

Katanya, hukuman denda tambahan bagi setiap mesin judi yang dirampas juga boleh dikenakan.

“Siasatan juga akan dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.

Sehubungan itu, Kumar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mempergiatkan operasi serta tindakan penguatkuasaan secara berterusan.

Katanya, kerjasama strategik dengan agensi berkepentingan juga akan terus diperkukuhkan bagi membanteras kegiatan tersebut.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” katanya.