Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

7 Perubahan Mengejutkan Dalam Badan Bila Anda Stop Gula
Ramai orang tidak sedar bahawa gula tambahan yang diambil setiap hari bukan sekadar memberi rasa manis dalam makanan dan minuman, tetapi sebenarnya memberi kesan yang cukup besar kepada keseluruhan sistem badan.
Dalam dunia moden hari ini, gula tersembunyi ada di mana-mana seperti dalam minuman bergas, kopi segera, sos, makanan proses, roti, dan juga snek harian. Keadaan ini menyebabkan ramai tidak sedar berapa banyak sebenarnya gula yang mereka ambil setiap hari.
Apabila seseorang mula berhenti gula atau cut sugar secara konsisten, perubahan yang berlaku bukan hanya pada berat badan tetapi melibatkan satu proses reset dalaman yang memberi kesan kepada otak, hormon, usus, kulit, hati dan juga sistem metabolik.
Menariknya, perubahan ini berlaku secara berperingkat dan sering kali mengejutkan kerana ramai tidak menjangka impaknya begitu besar seolah-olah badan sedang belajar semula cara berfungsi tanpa kebergantungan kepada gula berlebihan.
Berikut adalah 7 perubahan utama yang boleh berlaku apabila anda mula stop gula dalam kehidupan harian.
Salah satu perubahan paling awal yang berlaku apabila anda berhenti gula (cut sugar) ialah pada sistem ganjaran dalam otak. Gula merangsang pengeluaran dopamine iaitu bahan kimia yang berkait dengan rasa seronok, kepuasan dan reward.
Sebab itu, kita sering rasa ingin makan manis walaupun baru sahaja selesai makan seolah-olah otak masih minta lagi. Apabila gula dihentikan, rangsangan ini mula berkurang secara perlahan. Dalam beberapa hari hingga beberapa minggu, otak akan melalui proses penyesuaian semula atau recalibration di mana keinginan terhadap makanan manis semakin menurun.
Pada masa yang sama, ramai mula perasan bahawa makanan biasa seperti nasi, lauk, atau buah-buahan sudah cukup memuaskan tanpa perlu bergantung kepada rasa manis yang kuat. Ini sebenarnya tanda sistem reward otak sedang kembali kepada tahap lebih seimbang.
Gula berlebihan sering dikaitkan dengan keradangan tahap rendah dalam badan atau silent inflammation. Walaupun tidak menunjukkan simptom yang jelas pada awalnya, keadaan ini boleh berlaku secara senyap dalam jangka masa panjang dan memberi kesan kepada sendi, tenaga, metabolisme dan sistem imun.
Apabila anda mula cut sugar, badan akan perlahan-lahan menunjukkan tanda pemulihan. Ramai orang melaporkan rasa badan lebih ringan, kurang lenguh pada sendi dan tidak lagi mudah rasa “berat badan” walaupun tidak melakukan aktiviti berat.
Selain itu, tahap tenaga juga menjadi lebih stabil sepanjang hari, tidak lagi naik dan turun secara mendadak seperti sebelum ini. Perubahan ini mungkin tidak dramatik dalam sehari dua tetapi dalam beberapa minggu ia menjadi sangat ketara.
Sistem usus manusia sangat bergantung kepada keseimbangan bakteria baik dan bakteria tidak sihat. Pengambilan gula yang tinggi cenderung mengganggu keseimbangan ini kerana ia menjadi makanan utama kepada bakteria yang tidak sihat. Seterusnya akan menyebabkan sistem penghadaman menjadi kurang stabil.
Apabila anda berhenti gula atau cut sugar, bakteria baik dalam usus mula berkembang dengan lebih dominan. Kesannya, masalah seperti kembung perut, rasa tidak selesa selepas makan dan sistem penghadaman yang tidak menentu boleh berkurang secara perlahan.
Dalam masa yang sama, ramai tidak sedar bahawa kesihatan usus juga berkait rapat dengan emosi, stres dan mood harian. Keadaan ini akan menjadikan perubahan ini memberi kesan lebih luas daripada sekadar perut yang lebih selesa.
Salah satu perubahan yang sering disedari apabila seseorang cut sugar ialah keadaan kulit yang semakin baik. Gula berlebihan boleh mempercepatkan proses glycation, iaitu keadaan di mana molekul gula merosakkan kolagen dan elastin dalam kulit yang akan menyebabkan kulit hilang keanjalan lebih cepat dan kelihatan kusam.
Apabila gula dikurangkan, proses ini menjadi lebih perlahan. Kulit mula kelihatan lebih segar, lebih anjal dan lebih besrseri dari semasa ke semasa. Dalam banyak kes, masalah jerawat juga mula berkurangan kerana keradangan dalam badan semakin terkawal.
Ini bukan sekadar perubahan luaran yang bersifat sementara tetapi perubahan yang berlaku dari dalam struktur kulit itu sendiri, menjadikannya lebih sihat dalam jangka panjang.
Di samping itu juga, hati merupakan organ penting yang berfungsi sebagai kilang pemprosesan utama dalam badan, bertanggungjawab menapis toksin dan menguruskan tenaga. Namun, pengambilan gula berlebihan terutamanya fruktosa boleh menyebabkan lebihan lemak terkumpul di dalam hati, yang lama-kelamaan boleh mengganggu fungsinya.
Apabila anda cut sugar, hati mula berfungsi dengan lebih efisien. Badan juga mula menggunakan semula simpanan lemak sebagai sumber tenaga, membantu proses pembersihan dalaman secara semula jadi.
Dalam jangka masa tertentu, ini boleh membantu mengurangkan risiko masalah hati berlemak serta meningkatkan kecekapan metabolisme secara keseluruhan, menjadikan badan lebih ringan dan bertenaga.
Insulin ialah hormon utama yang mengawal paras gula dalam darah. Apabila seseorang mengambil gula secara berlebihan secara berterusan, sel badan boleh menjadi kurang sensitif terhadap insulin. Keadaan ini akan menyebabkan badan perlu bekerja lebih keras untuk mengawal gula darah.
Dengan melakukan cut sugar secara konsisten, sel dalam badan mula menjadi lebih responsif terhadap insulin. Ini bermakna tenaga dapat digunakan dengan lebih efisien dan paras gula dalam darah menjadi lebih stabil sepanjang hari tanpa turun naik yang drastik.
Perubahan ini sangat penting kerana ia berkait rapat dengan risiko penyakit metabolik seperti Type 2 Diabetes yang semakin meningkat dalam gaya hidup moden hari ini.
Antara perubahan paling menarik dan sering mengejutkan ramai orang ialah perubahan pada deria rasa selepas beberapa minggu berhenti gula. Apabila lidah tidak lagi terbiasa dengan rasa manis yang melampau, reseptor rasa akan kembali menjadi lebih sensitif dan seimbang.
Akibatnya, buah-buahan akan terasa jauh lebih manis daripada biasa, kopi tanpa gula menjadi lebih sedap serta smooth dan makanan harian terasa lebih kaya dari segi rasa walaupun tanpa tambahan gula.
Perubahan ini menunjukkan bahawa selera manusia sebenarnya sangat fleksibel dan apa yang kita rasa normal hari ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh tabiat pemakanan kita sendiri.
Secara keseluruhannya, sama ada anda menyebutnya sebagai stop gula atau cut sugar, perubahan yang berlaku dalam badan bukan sekadar pada permukaan tetapi melibatkan satu proses pemulihan menyeluruh dari dalam. Ia bukan hanya tentang penurunan berat bada, tetapi lebih kepada keseimbangan semula sistem badan yang melibatkan otak, usus, hati, kulit dan hormon.
Walaupun perubahan ini tidak semuanya dapat dilihat dalam masa singkat, kesannya dalam jangka panjang sangat besar terhadap tahap kesihatan, tenaga harian dan kualiti hidup. Dalam dunia moden yang penuh dengan makanan tinggi gula, langkah kecil seperti mengurangkan gula boleh menjadi titik permulaan kepada perubahan gaya hidup yang lebih sihat, stabil dan berkualiti.