Bayangkan sebuah sungai yang menghakis batuan sehingga membentuk lembah sempit berbentuk huruf V.
Namun, apabila yang mengukirnya ialah glasier, hasilnya jauh lebih besar dan mengagumkan.
Bergerak perlahan dengan berat luar biasa, ais mengikis batuan di sepanjang dinding lembah, mengangkut bongkah batu untuk jarak yang jauh sebelum meninggalkan landskap dengan lembah berbentuk U, rabung tajam, tasik dan fjord.
Menariknya, kesan pergerakan glasier itu masih boleh dilihat hingga hari ini di beberapa taman negara di Amerika Syarikat, walaupun sebahagian besar ais yang membentuknya sudah mencair ribuan tahun lalu.
1. Glacier National Park, Montana
Glacier National Park merupakan antara lokasi yang paling jelas memperlihatkan kesan glasier Zaman Ais di Amerika Syarikat.
Ketika zaman Pleistosen, glasier besar memenuhi kebanyakan lembah di kawasan tersebut, manakala hanya puncak gunung tertinggi yang berada di atas permukaan ais.
Pergerakan glasier yang berulang kali mara dan berundur mengukir lembah berbentuk U, selain membentuk cirque, morain dan ratusan tasik.
St. Mary Lake, misalnya, terletak dalam lembah yang diukir glasier, manakala tasik-tasik alpine yang lebih kecil memenuhi lekukan yang terbentuk akibat hakisan ais.
Walaupun kebanyakan glasier besar Zaman Ais telah lenyap ribuan tahun lalu, beberapa glasier moden masih wujud di taman negara ini.

2. Yosemite National Park, California
Landskap Yosemite Valley juga mempunyai kaitan rapat dengan pergerakan glasier.
Sebelum itu, sungai telah membentuk lembah yang lebih sempit. Namun, selama berjuta-juta tahun, glasier berulang kali bergerak melalui Sierra Nevada, lalu menghakis dan melebarkan lembah tersebut.
Pergerakan ais membantu menghasilkan lantai lembah yang luas serta dinding granit yang curam dan mengagumkan.
Glasier juga memainkan peranan dalam pembentukan air terjun Yosemite.
Glasier utama menghakis lembah dengan lebih dalam berbanding glasier yang mengalir dari lembah kecil di sekitarnya. Apabila ais mencair, lembah-lembah kecil itu berada lebih tinggi daripada lembah utama, menyebabkan aliran sungai kini terjun dari tebing tinggi seperti Bridalveil Fall.

3. Grand Teton National Park, Wyoming
Gunung-gunung di Grand Teton terbentuk sebahagiannya akibat pergerakan di sepanjang Teton Fault, tetapi glasier kemudiannya mengubah bentuk kawasan tersebut.
Ketika Zaman Ais Pleistosen, glasier bergerak berulang kali melalui banjaran Teton, melebarkan lembah menjadi bentuk U, menajamkan puncak gunung serta mengorek lekukan yang kemudiannya dipenuhi air.
Tasik seperti Jenny Lake dan Taggart Lake antara contoh kawasan yang terbentuk hasil aktiviti glasier.
Lembah seperti Cascade Canyon dan Death Canyon pula masih menyimpan bukti kewujudan glasier jauh lebih besar yang pernah memenuhi kawasan berkenaan kira-kira 10,000 tahun lalu.
4. Rocky Mountain National Park, Colorado
Daripada puncak gunung hinggalah ke dasar lembah, Rocky Mountain National Park menyimpan pelbagai kesan pergerakan glasier.
Glasier yang pernah memenuhi kawasan ini meninggalkan cirque, tasik, batuan yang digilap, morain serta bongkah batu yang dibawa dari lokasi asalnya.
Sebelum glasier tiba, aliran sungai telah membentuk lembah berbentuk V. Apabila iklim menjadi semakin sejuk, salji berkumpul di kawasan tinggi sebelum mampat menjadi ais yang bergerak.
Pergerakan itu kemudiannya menghakis dan melebarkan lembah menjadi bentuk U yang masih dapat dilihat sehingga kini.
Moraine Park merupakan antara contoh paling jelas. Apabila glasier mula mencair dan berundur, timbunan batuan yang dibawanya ditinggalkan di sepanjang sisi dan hujung lembah.
Chasm Lake pula berada dalam satu lekukan berbentuk mangkuk yang dikenali sebagai cirque, terletak di bawah permukaan timur Longs Peak.
5. North Cascades National Park, Washington
North Cascades National Park mempunyai lebih 300 glasier serta banyak kawasan salji kekal, menjadikannya antara kawasan paling banyak dilitupi glasier di Amerika Syarikat di luar Alaska.
Namun, glasier yang masih wujud hari ini hanyalah sebahagian daripada kisahnya.
Kira-kira 16,000 tahun lalu, lapisan ais yang sangat besar menutupi hampir keseluruhan North Cascades kecuali puncak tertinggi.
Pergerakan ais berulang kali menghakis lembah, menajamkan rabung dan membentuk rupa bumi curam serta kasar yang menjadi identiti kawasan tersebut.
Walaupun glasier bukan pencipta asal banjaran gunung berkenaan, kuasa ais telah memberikan sebahagian besar bentuk moden North Cascades.
6. Acadia National Park, Maine
Acadia National Park pula menawarkan pemandangan glasier yang berbeza.
Berbanding gunung tinggi dan lembah alpine, kawasan ini memperlihatkan kesan lapisan ais benua yang pernah bergerak merentasi pesisir Maine.
Ketika zaman glasier terakhir, ais menghakis Mount Desert Island, melicinkan puncak gunung, melebarkan lembah dan mengangkut sejumlah besar batuan.
Kesan geseran ais seperti garisan dan alur pada batuan turut boleh ditemui, selain glacial erratics iaitu bongkah batu yang dibawa oleh glasier dan ditinggalkan jauh dari lokasi asalnya.
Jordan Pond pula terletak di lembah yang dibentuk oleh glasier dan kemudiannya dipengaruhi oleh mendapan glasier.
Gunung yang lebih bulat, batu granit licin serta bongkah batu yang berselerak di seluruh Acadia menjadi bukti bahawa kawasan yang kini kelihatan tenang itu pernah dilitupi ais.
7. Kenai Fjords National Park, Alaska
Di Kenai Fjords National Park, kesan glasier begitu jelas sehingga sukar untuk memisahkan pengaruh ais daripada pengaruh laut.
Harding Icefield menjadi antara ciri geografi utama taman negara ini dan membekalkan puluhan glasier, sebahagiannya berakhir dalam kawasan taman.
Ada glasier yang mengukir lembah jauh ke dalam daratan sebelum lembah tersebut dipenuhi air laut selepas ais mencair.
Hasilnya ialah fjord, lembah berdinding curam yang terbentuk apabila glasier mengorek lembah sehingga cukup dalam dan kemudiannya dibanjiri air laut.
Yang menarik, proses itu bukan sekadar tinggalan sejarah. Glasier di Kenai Fjords masih bergerak dan terus membentuk landskap sekitarnya.
Landskap Yang Menyimpan Kisah Zaman Ais
Glasier sebenarnya tidak mencipta semua gunung, lembah dan tasik di taman-taman negara ini.
Ada yang terbentuk akibat pergerakan tektonik, proses geologi purba atau hakisan sungai sebelum kedatangan glasier.
Namun, apabila ais mula bergerak, landskap sedia ada itu diubah secara besar-besaran.
Glasier melebarkan lembah, mengikis batuan, mengangkut bongkah besar dan membentuk lekukan pada kawasan pergunungan. Apabila ia berundur, tinggalan seperti morain, tasik, batuan licin dan lembah berbentuk U terus menjadi bukti kepada kewujudannya.
Jadi, setiap lembah berbentuk U, air terjun yang jatuh dari lembah tergantung atau tasik yang terletak di kaki gunung sebenarnya menyimpan satu cerita lama iaitu kisah tentang bagaimana ais pernah mengukir bumi sedikit demi sedikit sehingga membentuk pemandangan yang kita kagumi hari ini.

