Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

AS Beri Amaran Syarikat Antarabangsa Berdepan Sekatan Jika Bantu Syarikat Penerbangan Iran

IRAN
Kredit: AFP

Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa syarikat dan lapangan terbang antarabangsa yang terus menyediakan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan Iran berisiko dikenakan sekatan sehingga boleh kehilangan akses kepada sistem kewangan berasaskan dolar AS.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, semua syarikat penerbangan komersial Iran akan berdepan tindakan yang menyukarkan operasi antarabangsa mulai 23 September susulan tekanan ekonomi Washington terhadap Tehran.

“Pada 23 September, semua syarikat penerbangan Iran akan ditutup di seluruh dunia,” katanya dalam temu bual dengan CNBC, seperti dipetik Anadolu Ajansı.

Menurut Bessent, pengendali asing yang terus menyediakan bahan api, kemudahan pendaratan atau menjual tiket kepada syarikat penerbangan Iran berisiko disingkirkan daripada sistem kewangan dolar AS.

Katanya, Washington turut mengenal pasti pihak ketiga dan perantara kewangan yang didakwa membantu Tehran menjalankan urus niaga.

“Kami telah melihat pihak yang membantu di seluruh dunia. Kami tahu siapa mereka dan mereka juga tahu siapa mereka. Kami sedang menghentikannya,” katanya.

Bessent turut berkata, perkara berkaitan penguatkuasaan sekatan terhadap Iran turut dibincangkan dengan pihak China menerusi perbincangan secara tertutup.

Menurutnya, pihak berkuasa kewangan China termasuk Gabenor People's Bank of China, Pan Gongsheng, kekal terlibat dalam perbincangan berkaitan pematuhan terhadap sekatan AS.

Bagaimanapun, Bessent tidak menyatakan berapa lama atau sejauh mana tekanan ekonomi berkenaan akan dilaksanakan, sama ada untuk tempoh seminggu, sebulan atau enam bulan.

Langkah berkenaan menyusuli tindakan Jabatan Perbendaharaan AS pada 8 September lalu yang mengenakan sekatan terhadap 36 sasaran berkaitan sektor penerbangan Iran, termasuk 27 syarikat penerbangan Iran serta syarikat dan perantara asing yang didakwa menyokong sektor berkenaan.

Sumber:Anadolu