Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

70 Bas Shuttle Disediakan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026

Bas Shuttle Sambutan Hari Kebangsaan
Kredit: Suria FM & Bernama

Sudah tentu ramai yang ingin turut serta dan merasakan kemeriahan Hari Kebangsaan 2026 yang semakin menghampiri.

Tahun ini, Sambutan Hari Kebangsaan sekali lagi dilangsungkan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2026 bermula jam 7.00 pagi dengan tema 'Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati'.

Beberapa laluan jalan raya juga akan ditutup bagi membolehkan perarakan dan persembahan sempena sambutan ini dilangsungkan dengan lancar.

Bagi mereka yang mahu menyaksikan perarakan secara langsung, persoalan mengenai lokasi untuk meletakkan kenderaan pastinya menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian.

Susulan itu, Superintendent (Supt.) Suffian Abdullah hadir ke stesen radio Suria FM sebagai tetamu jemputan khas dalam segmen Pagi On Suria sempena Hari Kebangsaan.

70 Bus Shuttle Disediakan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026

Menerusi segmen itu, beliau berkongsi beberapa lokasi tempat letak kenderaan awam bagi mereka yang mahu menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan 2026.

Menurutnya, tempat letak kenderaan awam yang disediakan boleh menampung lebih 20,000 buah kereta namun lokasinya berada di luar dari kawasan perarakan.

“Bagi masyarakat atau pengunjung-pengunjung yang datang daripada luar dan sebagainya, kita pun ada tempat parking. Dan parking ini kebanyakannya berada di luar pulau (Core Island).

“Tempat-tempat parkin tersebut adalah di sekitar Presint 9, 3,000 parking, Presint 8, 2,000 parking, persekitaran Persiaran Sultan Abdul Aziz Shah, 3,000 parking, di Presint 18 pun kita ada 7,000 parking, di sekitar Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pun ada 8,000 parking “ katanya.

Walaupun terdapat banyak lokasi tempat letak kenderaan, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tiba di lokasi parking lebih awal.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa perkhidmatan bas ulang-alik turut disediakan bagi memudahkan pergerakan pengunjung.

Menurut Suffian, sebanyak 70 buah bas disediakan di Terminal Putrajaya, dengan 40 daripadanya merupakan bas dua tingkat manakala 30 lagi ialah bas satu tingkat.

“Memang banyak bas dan kaedah ini sebenarnya memang paling sesuai. Masyarakat dan pengunjung pun menggunakan kaedah ini,” ujarnya.

Sementara itu, Bernama melaporkan seramai 3,811 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap sedia sepenuhnya bagi memastikan keselamatan serta kelancaran aliran trafik menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 ini.

Ketua Polis Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 2,357 pegawai dan anggota telah ditugaskan bagi kawalan keselamatan statik serta kawalan lalu lintas.

“Seramai 1,755 pegawai dan anggota ditugaskna bagi kawalan keselamatan statik membabitkan anggota dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, IPK Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, serta bantuan anggota dari Bukit Aman bagi mengawal kemasukan pengunjung yang dijangka mencecah 80,000 orang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Khamis.

Aidi Sham turut berkata penutupan dan lencongan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut dua fasa utama bagi meminimumkan gangguan terhadap aliran trafik.

Fasa pertama bermula semalam dengan penutupan penuh Persiaran Perdana dan Dataran Putra sehingga 29 Ogos, dari Jam 6 pagi hingga tengah hari.

Kawalan trafik turut dilaksanakan di Jalan Laman Perdana, Jalan P2A, Jalan P2T, Jalan P2S, Jalan P2W dan Jalan P2Y.

“Fasa kedua akan bermula seawal jam 5 pagi pada 30 Ogos hingga jam 6 petang pada 31 Ogos, membabitkan penutupan semua laluan utama menuju ke Core Island Putrajaya,” katanya.

Intipati
  • Sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos.
  • Sebanyak 70 bas ulang-alik disediakan di Terminal Putrajaya untuk memudahkan pergerakan pengunjung.
  • PDRM menugaskan 3,811 pegawai dan anggota bagi kawalan keselamatan serta kelancaran trafik.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan