Seperti yang kita tahu, rangkaian media sosial Facebook termasuk WhatsApp, Messenger dan Instagram sempat tergendala secara global baru-baru ini. Pengguna dikatakan mengalami kegagalan mengakses kesemua laman sosial ini dalam tempoh kurang lebih enam jam.
Oleh sebab itu, pengguna media sosial dikatakan ‘berhijrah’ ke platform lain selain rangkaian produk Facebook.
Aplikasi permesejan Telegram dilaporkan menerima 70 juta pengguna baharu kelmarin dipercayai pengguna-pengguna media sosial yang ‘lari’. Perkara ini didedahkan sendiri oleh pengasas Telegram, Pavel Durov di siaran Telegram miliknya.
“Semalam (kelmarin), Telegram merekodkan peningkatan dari segi pendaftaran dan aktiviti.
“Kadar peningkatan harian di Telegram dalam melebihi batas normal dan kami menerima 70 juta ‘pelarian’ daripada platform lain dalam masa sehari.
“Saya bangga dengan kebolehan pasukan kami menangani peningkatan mendadak ini dan Telegram masih mampu berfungsi dengan sempurna untuk majoriti pengguna,” tulis Durov.
Pun begitu, menurut Durov, sebilangan pengguna di Amerika mungkin mengalami gangguan sedikit lembap berbanding biasa kerana jutaan pengguna baharu dari benua ini berpusu-pusu mendaftar ke Telegram dalam waktu bersamaan.
“Kepada pengguna baharu, saya ucapkan selamat datang ke Telegram, platform permesejan terluas.
“Kami tak akan kecewakan bila yang lain kecewakan anda,” ujar Durov, mengakhiri tulisannya.
Sumber: Pavel Durov
