Ramai mungkin menganggap susu dan produk tenusu sebagai satu-satunya sumber kalsium.
Namun, tahukah anda bahawa sesetengah buah-buahan turut mengandungi mineral penting ini?
Walaupun kandungan kalsium dalam buah biasanya lebih rendah berbanding susu, minuman tumbuhan diperkaya kalsium atau sayuran berdaun hijau, pengambilannya tetap boleh menyumbang kepada keperluan kalsium harian, terutama jika diamalkan bersama sumber makanan lain yang kaya dengan kalsium.
Kalsium bukan sahaja penting untuk membantu mengekalkan kekuatan tulang dan gigi, malah turut diperlukan untuk pergerakan otot, penghantaran isyarat saraf, aliran serta pembekuan darah dan beberapa fungsi badan lain.
Vitamin D pula membantu tubuh menyerap kalsium dengan lebih baik.
Menurut sumber yang dirujuk, orang dewasa memerlukan sekitar 1,000 miligram kalsium sehari, manakala kanak-kanak, remaja dan golongan lebih berusia memerlukan jumlah yang lebih tinggi.
Jadi, jika anda sedang mencari pilihan buah yang boleh menyumbang kepada pengambilan kalsium, berikut sembilan antaranya.
1. Buah Pir Berduri (Prickly Pear)
Kandungan kalsium: 83 miligram bagi satu cawan
Buah yang berasal daripada kaktus ini antara buah yang mempunyai kandungan kalsium lebih tinggi. Ia boleh dimakan begitu sahaja atau digunakan dalam minuman, pencuci mulut dan jem.
Menariknya, rasanya dikatakan mempunyai gabungan rasa seperti strawberi, tembikai dan buah sitrus, bergantung kepada jenisnya.
2. Oren
Kandungan kalsium: 65 miligram bagi sebiji oren besar
Oren sememangnya terkenal dengan kandungan vitamin C yang tinggi, namun buah ini turut menyumbang kalsium dan kalium.
Lebih menarik, jus oren yang diperkaya kalsium boleh mengandungi sehingga 349 miligram kalsium bagi segelas, iaitu hampir menyamai kandungan kalsium dalam segelas susu.

3. Black Currant
Kandungan kalsium: 61 miligram bagi satu cawan
Buah berwarna gelap ini mempunyai rasa manis dan sedikit masam serta boleh dimakan segar, dikeringkan, dijadikan jus atau jem.
Warnanya yang pekat juga menunjukkan kehadiran pelbagai sebatian bioaktif yang dikaitkan dengan sifat antioksidan dan anti-radang.
4. Buah Tin Kering
Kandungan kalsium: sekitar 60 miligram bagi suku cawan
Selain rasanya yang manis, buah tin kering merupakan antara pilihan buah yang menyumbang kalsium.
Ia turut mengandungi serat, antioksidan dan beberapa mineral lain, menjadikannya sesuai dijadikan snek atau ditambah ke dalam hidangan seperti yogurt.
5. Beri Hitam
Kandungan kalsium: 42 miligram bagi satu cawan
Beri hitam bukan sahaja menyumbang kalsium, malah turut mengandungi serat dan antioksidan.
Buah ini boleh dinikmati begitu sahaja atau dicampurkan ke dalam oat, yogurt, smoothie mahupun salad buah.
6. Betik
Kandungan kalsium: 29 miligram bagi satu cawan
Buah tropika yang mudah ditemui ini mengandungi pelbagai nutrien termasuk magnesium, kalium, folat, likopena serta vitamin A, C, E dan K.
Selain kalsium, betik turut membekalkan sedikit zat besi.
7. Kiwi
Kandungan kalsium: 26 miligram bagi sebiji
Saiznya kecil, tetapi kiwi mengandungi pelbagai nutrien. Buah ini kaya dengan vitamin C, selain membekalkan magnesium, kalium dan serat.
Ia juga boleh menjadi pilihan untuk menambah variasi buah dalam pemakanan harian.

8. Prun
Kandungan kalsium: sekitar 19 miligram bagi suku cawan
Prun sering dikaitkan dengan kesihatan sistem penghadaman, namun buah kering ini turut membekalkan sedikit kalsium.
Selain dimakan sebagai snek, prun juga boleh dinikmati dalam bentuk jus.
9. Aprikot Kering
Kandungan kalsium: 18 miligram bagi suku cawan
Aprikot segar mengandungi sedikit kalsium, manakala proses pengeringan menjadikan kandungan nutriennya lebih tertumpu kerana air telah dikeluarkan.
Selain kalsium, aprikot kering turut membekalkan zat besi dan protein.
Buah sahaja mencukupi?
Walaupun buah-buahan boleh menyumbang kepada pengambilan kalsium, ia biasanya tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kalsium harian secara bersendirian.
Bagi individu yang tidak mengambil produk tenusu, terutama mereka yang mengamalkan pemakanan berasaskan tumbuhan, buah-buahan boleh digabungkan dengan sumber kalsium lain seperti minuman tumbuhan yang diperkaya kalsium, tauhu, badam, tahini dan sayuran berdaun hijau.
Pendek kata, tak perlu bergantung kepada satu jenis makanan sahaja.
Pelbagaikan sumber makanan supaya keperluan nutrien harian lebih mudah dipenuhi.

