Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Setiap anak adalah unik dan istimewa. Masing-masing mempunyai kemampuan serta potensi tersendiri yang perlu diterokai ibu bapa.
Oleh itu, penting bagi ibu bapa untuk memahami perilaku anak-anak supaya dapat memberikan sokongan sepatutnya demi perkembangan mereka.
Bagi sebahagian ibu bapa yang memiliki anak istimewa, mungkin kadangkala keliru dengan perbezaan gangguan spektrum Ausitme (ASD) atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) berikutan beberapa persamaan pada simptom kedua-duanya.
Untuk lebih memahami kedua-dua kondisi ini, mari baca perkongsian oleh Hello Doktor di bawah.
Terma ‘spektrum’ bermakna terdapat pelbagai tahap keterukan dan juga jenis diagnosis autisme yang berbeza.
Gejala atau perubahan yang menunjuk ke arah ASD sudah boleh mula dilihat seawal usia 2 hingga 3 tahun.
Menggunakan MHCAT (Mental Health Computerized Adaptive Testing), satu kajian dalam kalangan kanak-kanak berusia 18 hingga 36 bulan di klinik kesihatan Ibu & Anak-Anak Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati insiden ASD di Malaysia berada sekitar 1.6 dalam 1000 kanak-kanak.
Kajian juga mendapati kebarangkalian ASD adalah sebanyak 4 hingga 5 kali ganda lebih tinggi dalam kalangan lelaki berbanding perempuan.
Punca sebenar ASD masih tidak dapat dipastikan.
Antaranya adalah usia ibu dan bapa yang meningkat, masalah lahir pramatang (< 33 minggu), sejarah autisme dalam keluarga, masalah perkembangan otak disebabkan faktor genetik, masalah kesihatan semasa mengandung atau masalah ketika proses bersalin.
Apakah tanda autisme pada anak?
Hubungan mata yang terhad atau tidak wujud ketika berinteraksi
Tidak boleh berkawan atau tidak bermain dengan orang lain
Kesukaran dalam memahami isyarat sosial atau bukan lisan
Tingkah laku berulang-ulang
Bermain dalam dunia sendiri dan tidak melihat perkara yang ditunjukkan kepada mereka
Perbualan satu pihak
Mengulang percakapan mengenai perkara yang sama
Tidak main olok-olok
Mengibas-gibaskan tangan
Suka memutar objek
Tidak suka akan perubahan
Suka menyusun objek

Mungkin ramai ibu bapa perasan terdapat banyak persamaan antara simptom ASD dan juga Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Namun yang demikian, terdapat perbezaan utama yang dapat membantu membezakan kedua-dua keadaan ini.
Dari segi perhatian, penghidap ASD sukar untuk memberikan perhatian kepada sesuatu yang mereka tidak gemari.
Penghidap ADHD pula akan tidak gemar atau tidak memberi perhatian kepada sesuatu yang memerlukan fokus.
Dari sudut komunikasi pula, walaupun kedua-dua keadaan akan menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami masalah dalam berinteraksi, penghidap ASD akan tampak lebih terhad keupayaan sosial mereka.
Mereka kurang kesedaran sosial di persekitaran mereka dan terhad berkomunikasi lisan dan bukan lisan (hubungan mata dan sebagainya).
Lakukan perkara berulang-ulang, adakah ia tanda autisme? Satu lagi perbezaan penting adalah penghidap ASD gemar melakukan sesuatu, khususnya sesuatu yang mereka suka, berulang-ulang kali.
Untuk gejala tingkah laku berulang-ulang, mungkin ramai yang akan perasan bahawa ia mirip gejala penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD). Ia adalah satu pemerhatian yang bagus.
Secara asasnya, seseorang yang menghidap ASD berupaya untuk mendapat tingkah laku obsesisif dan kompulsif yang berulang-ulang, persis gejala dalam penyakit OCD.
Namun yang demikian, keterukan simptom obsesif dan kompulsif ini adalah jauh lebih teruk dalam OCD berbanding ASD.
Tambahan lagi, penghidap OCD tidak mempunyai gangguan bahasa dan komunikasi seperti yang dialami oleh penghidap ASD.
Untuk pencerahan lebih lanjut, dapatkan maklumat yang tepat daripada doktor anda.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.