Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

AFC Denda FAM Lagi
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali lagi dikenakan denda oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Menerusi keputusan yang dibuat Jawatankuasa Tatatertib AFC mendapati, badan induk bola sepak negara bersalah kerana lewat menghantar permohonan kelulusan perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2, melibatkan Negeri Sembilan dan Timor Leste yang berlangsung pada 9 November tahun lalu.
Difahamkan, perlawanan itu menjadi medan pemanas badan buat Timor Leste sebelum menghadapi Tajikistan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.
"FAM diperintahkan untuk membayar denda sebanyak USD1,250 (RM4,863) kerana melanggar Artikel 11.11 Peraturan AFC yang Mengawal Perlawanan Antarabangsa.
"Denda tersebut hendaklah diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh Keputusan ini dimaklumkan selaras dengan Artikel 11.3 Kod Disiplin dan Etika AFC," maklum kenyataan AFC.
Untuk makluman, ini merupakan kali keempat FAM didapati bersalah atas kesalahan sama.
Selain FAM, beberapa badan bola sepak dari negara lain turut dikenakan denda atas kesalahan sama.
Antaranya Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF), Persatuan Bola Sepak Uzbekistan (UFA) dan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA).
Terdahulu, Negeri Sembilan yang di bawah kendalian Nidzam Jamil menewaskan Timor Leste 2-1.
Dua gol itu berjaya disumbangkan oleh bekas penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin buat Sang Rusa.