Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026 kepada 14 pelajar cemerlang bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang strategik.
Majlis penyampaian biasiswa berprestij di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu berlangsung di Istana Negara dan disempurnakan sendiri oleh Seri Paduka Baginda.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim hari ini, baginda berkenan menyampaikan biasiswa tersebut kepada tujuh penerima bagi pengajian peringkat PhD dan tujuh lagi di peringkat Sarjana (Penyelidikan).
Daripada jumlah itu, empat penerima akan menyambung pengajian di universiti terkemuka luar negara termasuk di United Kingdom, manakala baki 10 lagi akan meneruskan pengajian di universiti penyelidikan tempatan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad serta Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Jamalulail Abu Bakar.
Bagi peringkat PhD, penerima terdiri daripada Afiefah Zulkifli, Aiman Zakuan Azman, Chua Hui Qi, Giroon Ijod, Haimon Franklin, Lee Yu Shi serta Waywen Loh Chang Yuan yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Imunologi di University of Oxford.
Sementara itu, bagi peringkat Sarjana (Penyelidikan), penerima terdiri daripada Fatini Amirul Haziq Azwan, Chan Ler Yi, Chris Ee Jia Wen, Mohamad Izuwansah Ishak, Muhammad Zulhusni Che Razali dan Puteri Najihah Athirah Zamrifana.
Biasiswa Yang di-Pertuan Agong mula diperkenalkan pada tahun 2006 sebagai pengiktirafan kepada rakyat Malaysia yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam bidang akademik selain aktif dalam kokurikulum, kemasyarakatan serta penghasilan karya berteraskan kreativiti dan inovasi.
Sejak diperkenalkan hampir dua dekad lalu, seramai 239 individu telah menerima tajaan BYDPA membabitkan 124 penerima di peringkat PhD dan 115 penerima di peringkat Sarjana (Penyelidikan).
Program penajaan berprestij itu dilihat sebagai antara usaha strategik kerajaan dalam melahirkan lebih ramai tenaga pakar bertaraf global, khususnya dalam bidang kritikal seperti sains kesihatan, teknologi, alam sekitar dan penyelidikan saintifik demi menyokong pembangunan negara pada masa hadapan.