Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai artis tempatan pertama yang bakal mengadakan konsert solo di TM Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi penganjuran konsert Tradisional Gema Bumantara pada 17 Oktober depan.
Siti Nurhaliza atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin berkata, pengumuman konsert berkenaan menjadi satu detik cukup bermakna buat dirinya memandangkan ia membawa konsep irama tradisional yang sudah lama ingin diketengahkan dalam skala lebih besar.
Menurut penyanyi berusia 47 tahun itu, konsert tersebut bakal menjadi platform untuk meraikan keindahan muzik warisan yang dekat dengan perjalanan seni dan jiwanya sejak sekian lama.
“Saya ingin berkongsi satu berita istimewa. Insya-Allah, konsert Tradisional Gema Bumantara akan berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 Oktober nanti.
“Saya harap semua teruja dan apabila jualan tiket dibuka nanti, jangan lupa dapatkan. Sama-sama kita raikan keindahan irama tradisional menerusi Gema Bumantara,” katanya menerusi siaran langsung di Instagram.
Pengumuman itu turut mencuri perhatian peminat apabila Siti sempat mendendangkan lagu Joget Berhibur secara spontan, sekali gus menambahkan lagi keterujaan terhadap konsert yang bakal berlangsung.
Dalam sesi sama, pelantun lagu Jerat Percintaan itu turut menyampaikan pantun sebagai simbolik kepada tema tradisional yang menjadi tunjang utama konsert berkenaan.
“Kain cindai bersulam sembilan, indah bagai sahmura berwarna, hati yang rindu kita pertemukan, TM Stadium Nasional bergema Bumantara.
“Jangan lepaskan peluang untuk kita sama-sama mengangkat dan meraikan irama warisan kita.
“Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, selamanya menjadi nadi dalam suara tradisi zaman berzaman,” ujarnya.