Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Agong Zahir Amaran Lebih Ramai Lagi Dalam 'Radar' Misi Perangi Rasuah
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan amaran tegas bahawa lebih ramai individu kini berada dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.
Menerusi hantaran Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Facebook, Baginda bertitah bahawa rasuah adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan sama sekali tidak akan ditoleransi dalam pentadbiran negara.
Titah Baginda, usaha membanteras gejala itu tidak hanya tertumpu kepada segelintir jabatan atau individu tertentu, malah melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa dan badan berkaitan.
“Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima.., malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi
“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
“Tidak kira apa jua pangkat anda…, begitu juga ejen-ejen yang menjadi “orang tengah” selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan…, anda juga dalam ‘radar’
“Bah kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’…, jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah Seri Paduka Baginda lagi.
Selain itu, Baginda bertitah sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.
“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah Baginda.