
Ramai Tak Sedar, Mekanik Bongkar Punca Tayar 'Makan' Dalam
Tayar merupakan antara komponen paling penting dalam sesebuah kereta kerana ia menjadi satu-satunya bahagian yang bersentuhan terus dengan permukaan jalan.
Selain untuk membantu pergerakan, fungsi tayar juga untuk menyokong berat keseluruhan kenderaan.
Maka sebab itu, penjagaan tayar perlu dititik beratkan kerana kualiti tayar yang menurun boleh menjejaskan keselamatan pemanduan.
Apa tidaknya, pada bahagian tayar juga terletak satu sistem keselamatan yang amat penting yang dikenali sebagai sistem brek.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @altimatautogarage di TikTok, mekanik berkenaan berkongsi beberapa punca tayar 'makan' dalam yang ramai pemilik kereta terlepas pandang.
Situasi ini bukan sekadar menjejaskan prestasi kenderaan, bahkan boleh mengundang risiko sekiranya tidak ditangani lebih awal.
Menurutnya, antara komponen utama yang perlu diperiksa ialah bahagian lower arm pada tayar hadapan kerana ia memainkan peranan penting dalam kestabilan dan jajaran roda.
Masalah tayar makan juga boleh berlaku jika komponen seperti ball joint, steering rack atau bush mengalami kehausan atau kerosakan.
Dalam masa sama, keadaan absorber, stabilizer bar bush serta absorber link turut boleh menjadi penyumbang kepada masalah ini sekiranya tidak berada dalam keadaan baik.
“Kalau setiap komponen dah mula berbunyi, tukar tayar semata-mata memang tak menyelesaikan masalah
"Tayar baharu mungkin nampak elok pada awalnya, tapi biasanya cuma tahan satu hingga dua bulan sahaja
"Selepas itu, tayar akan kembali makan bahagian dalam seperti sebelum ini," ujar @altimatautogarage.
Difahamkan, jika anda hanya melakukan penjajaran (alignment) di mana-mana bengkel tanpa memeriksa komponen lain terlebih dahulu, ia mungkin tidak memberikan jajaran yang benar-benar tepat.
"Sepatutnya tukar dulu komponen seperti lower arm, steering rack dan absorber
"Lepas semua bahagian itu berada dalam keadaan baik, barulah buat alignment dan penjajaran jadi tepat serta tahan lebih lama," jelas mekanik itu lagi.
Menjengah ke ruang komen, rata-rata warga maya berterima kasih dengan perkongsian yang dibuat oleh pengguna TikTok berkenaan. Semoga bermanfaat.