
Elak Lima Makanan Ini Jika Sedang Haus
Musim panas sering kali menjadi musim yang kurang ‘digemari’ oleh ramai orang.
Suhu yang meningkat, cuaca yang terik serta keadaan udara yang kering boleh menyebabkan tubuh cepat berpeluh dan kehilangan banyak cecair.
Ketika tekak terasa kering dan badan mula lesu, pemilihan makanan dan minuman sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan keselesaan serta kesihatan tubuh.
Tanpa disedari, ada jenis makanan tertentu yang boleh meningkatkan suhu badan, mempercepatkan dehidrasi dan mengganggu keseimbangan dalaman tubuh.
Memahami pilihan makanan yang sesuai ketika musim panas amat penting bagi memastikan tubuh kekal segar dan tidak mudah mengalami dehidrasi.
Justeru, SK hari ini menyenaraikan beberapa jenis makanan yang wajar dielakkan.
Menurut portal Real Simple, terdapat beberapa nutrien dan komponen pemakanan utama yang boleh menyumbang kepada dehidrasi, antaranya tinggi natrium, jumlah protein yang tinggi dan gula tambahan.
Makanan berproses
Makanan berproses termasuk kerepek kentang, mi segera atau coklat kegemaran anda boleh menjadi antara pilihan yang paling berisiko menyebabkan dehidrasi.
Kicap (soy sauce)
Kicap memberikan rasa umami yang menarik, namun ia kurang membantu dalam menjaga hidrasi kerana kandungan natriumnya yang tinggi.
Walaupun terdapat versi rendah natrium, jumlahnya masih jauh melebihi tahap ideal.
Oleh itu, bahan perasa masin ini sebaiknya dinikmati secara sederhana, terutamanya jika anda mengalami dehidrasi atau berusaha meningkatkan tahap hidrasi tubuh.
Manisan atau pencuci mulut
Menurut portal Real Simple, manisan atau pencuci mulut juga perlu dihadkan ketika musim panas.
Kandungan gula yang tinggi dalam makanan ini boleh memberikan lonjakan tenaga sementara, tetapi secara tidak langsung menyebabkan badan kehilangan cecair lebih cepat melalui peluh, menyumbang kepada dehidrasi dan rasa lesu.
Selain itu, pengambilan manisan berlebihan turut boleh menjejaskan keseimbangan gula dalam darah.
Pizza
Kandungan garam dalam keju, doh dan daging pepperoni boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan.
Oleh itu, hadkan pengambilan pizza dalam rutin harian.
Kacang masin (salted nuts)
Kacang masin merupakan snek popular, tetapi kandungan garam yang tinggi boleh menyumbang kepada dehidrasi.
Natrium dalam kacang masin meningkatkan keasinan darah, menyebabkan tubuh menarik air dari sel untuk mengekalkan keseimbangan.
Difahamkan, ia boleh menyebabkan kehilangan cecair dalam sel dan meningkatkan risiko dehidrasi sekiranya pengambilan air tidak mencukupi.