Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Aichi-Nagoya 2026: Pearly-Thinaah Tamat Penantian 12 Tahun, Kembali Berpeluang Raih Pingat

NAGOYA
Kredit: Bernama

NAGOYA, 27 Sept (Bernama) -- Beregu wanita negara Pearly Tan-M.Thinaah menamatkan penantian 12 tahun Malaysia untuk kembali berpeluang meraih pingat di pentas Sukan Asia selepas melangkah ke separuh akhir acara beregu wanita Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Kemenangan 21-18, 21-9 ke atas pasangan India, Gayatri Gopichand-Treesa Jolly pada aksi suku akhir di Ichinomiya City Municipal Gymnasium hari ini, memastikan beregu ranking kelima dunia itu sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa.

Pingat itu bakal menjadi yang pertama buat Malaysia dalam acara beregu wanita Sukan Asia sejak Vivian Hoo-Woon Khe Wei meraih gangsa pada edisi Incheon 2014.

Namun, bagi Pearly dan Thinaah pencapaian itu hadir selepas melalui tempoh mencabar sejak beberapa bulan lepas, termasuk masalah kecederaan Pearly yang menyaksikan beliau berulang kali terpaksa berehat dan menjalani proses pemulihan.

“Memang satu pemangkin semangat (pingat 2014), tetapi kami tidak terlalu memikirkan perkara itu. Sejak beberapa minggu ini, kami hanya fokus kepada diri sendiri dan pasangan.

“Kami mahu buat yang terbaik dan tidak mahu ada penyesalan,” kata Thinaah.

Pearly berkata mereka memilih pendekatan selangkah demi selangkah dan tidak mahu memikirkan terlalu jauh mengenai peluang mara ke final.

“Sudah tentu semua orang mahu sampai ke final, tetapi kami akan ambil satu per satu. Perlawanan separuh akhir esok bukan mudah dan kami masih underdog seperti biasa.

“Apa yang kami lakukan sejak perlawanan pertama, perasaan dan momentum itu kami bawa pada setiap perlawanan,” katanya.

Mengenai pertemuan separuh akhir esok, Thinaah berkata mereka perlu melakukan persiapan rapi selepas dijadualkan berdepan gandingan pilihan utama dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan.

Beliau berkata mereka tidak mahu terlalu memikirkan reputasi lawan, sebaliknya akan meneliti semula corak permainan sebelum berbincang bersama pasangan dan barisan kejurulatihan.

“Buat masa ini kami akan berbincang semula antara satu sama lain dan dengan jurulatih mengenai permainan dan semuanya. Paling penting adalah mendapatkan rehat, tidur dan makanan yang baik serta pulih dengan baik untuk perlawanan esok,” katanya.

-- BERNAMA

Intipati
  • Pearly-Thinaah menewaskan Gayatri Gopichand-Treesa Jolly 21-18, 21-9 di suku akhir.
  • Kemenangan itu memastikan Malaysia sekurang-kurangnya meraih gangsa beregu wanita Sukan Asia.
  • Mereka akan bertemu pilihan utama China, Chen Qingchen-Jia Yifan, pada separuh akhir esok.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan