Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gerakan Islam Perlu Berteraskan Ilmu, Akhlak Dan Idealisme - PM Anwar

ISLAM
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Gerakan Islam tidak seharusnya hanya berpaksikan semangat, emosi dan sentimen, sebaliknya perlu diperkukuh dengan kekuatan ilmu, akhlak serta idealisme perjuangan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan gerakan yang membawa nama Islam tidak terjebak dengan budaya kebencian, fitnah dan adu domba.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Bangi, malam tadi.

“Islam tidak bangkit hanya dengan ledakan semangat, emosi dan sentimen tetapi dengan kekuatan ilmu yang menyedarkan dan menginsafkan,” katanya.

Menurut Anwar, gerakan kesedaran atas nama Islam akan menjadi tempang sekiranya hanya didorong semangat kemarahan serta menghalalkan perbuatan mengadu domba.

Ujarnya, perjuangan yang dibawa mana-mana gerakan tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan serta prinsip yang dipegang.

“Lahir sebagai Muslim, berketurunan Islam belum menjamin kefahaman. Muncullah gerakan Islam, persatuan Islam, pertubuhan Islam, gerakan Islam belum menjamin kebangkitan roh Islam selain daripada semangat dan percaturan kata-kata… sebab itu tanggungjawab besar kita adalah untuk menghidupkan tradisi ilmu,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh kepentingan tradisi usrah dalam gerakan Islam, selain tidak mengetepikan tradisi turath Islami sebagai panduan dalam membentuk pemikiran dan perjuangan.

Jelasnya, gerakan Islam juga perlu tegas dalam usaha membanteras rasuah, menentang pemikiran takfiri serta menangani kemiskinan tegar, namun pada masa sama perlu kekal dengan adab dan akhlak.

Beliau turut mengingatkan supaya perjuangan atas nama Islam tidak disempitkan kepada semangat ketuanan atau perkauman, sebaliknya berteraskan keyakinan, idealisme dan cita-cita murni untuk mengangkat martabat bangsa serta negara.

Majlis berkenaan turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Lebih 2,000 ahli WADAH, ABIM dan PKPIM turut menghadiri majlis berkenaan yang turut meraikan delegasi The Union of NGOs of The Islamic World (UNIW).

Intipati
  • Anwar berkata gerakan Islam perlu berteraskan ilmu, akhlak dan idealisme perjuangan.
  • Beliau mengingatkan gerakan Islam agar tidak terjebak budaya kebencian, fitnah dan adu domba.
  • Anwar turut menekankan tradisi usrah, turath Islami, pembanterasan rasuah dan penolakan takfiri.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan