Akhirnya Terjawab, Suami Hilang Ditemui Tragis
Polis Thailand pada Ahad menemui sebuah kereta sedan yang tenggelam di dalam terusan pengairan di daerah Tha Muang, wilayah Kanchanaburi.
Penemuan itu turut melibatkan satu rangka manusia yang dipercayai milik seorang lelaki warga Thailand yang dilaporkan hilang sejak lebih dua tahun lalu.
Menurut laporan media tempatan, penemuan dibuat sekitar jam 9.30 pagi selepas pihak berkuasa menurunkan paras air terusan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan.
Anggota dari Balai Polis Tha Muang kemudian dikerahkan ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai sebuah kenderaan yang tenggelam.
Kereta berkenaan dikenal pasti sebagai Toyota Vios berwarna gangsa. Pemeriksaan awal mendapati cermin hadapan kereta itu pecah dan keseluruhan kenderaan dilitupi alga tebal, menunjukkan ia telah lama berada di dalam air.

Selepas kenderaan berjaya dikeluarkan dari terusan, polis menemui satu rangka manusia berada di tempat duduk pemandu.
Berdasarkan nombor pendaftaran, pemilik kenderaan dikenal pasti sebagai Pattanasak Kanchanachokchai, 61, dan rangka yang ditemui dipercayai miliknya.
Polis telah menghantar rangka berkenaan ke hospital untuk menjalani proses bedah siasat dan ujian DNA bagi mengesahkan identiti serta menentukan punca kematian.
Selepas proses forensik selesai, mayat akan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
BACA: Lagi Jimat, Ini Cara Nak Aktifkan Pay Later Yang Paling Berbaloi
Isteri lapor kehilangan suami pada 2023
Pattanasak dilaporkan hilang oleh isterinya pada tahun 2023. Susulan penemuan itu, polis menghubungi ahli keluarga dan isteri serta anak-anaknya hadir ke lokasi kejadian. Isterinya dilaporkan tidak dapat menahan tangis sebaik melihat rangka tersebut.
Menurut wanita berkenaan, suaminya keluar dari rumah pada 13 Ogos 2023 kira-kira jam 9 pagi dan tidak pernah pulang selepas itu. Usaha mencari telah dilakukan sejak hari kehilangannya, namun tiada petunjuk ditemui sehingga kini.
Anak saudara Pattanasak, Wanpiya Kun-eung, 49, memaklumkan bahawa bapa saudaranya pernah bekerja di sebuah bengkel bersamanya. Beberapa hari sebelum menghilang, Pattanasak menghubunginya untuk meminta gaji pendahuluan.
Wanpiya berkata wang tersebut dipindahkan kepada Pattanasak sekitar jam 5 petang pada hari yang sama. Namun, kira-kira jam 9 malam, beliau dimaklumkan oleh isteri Pattanasak bahawa lelaki itu telah hilang.
Isteri mangsa turut mendedahkan bahawa Pattanasak sebelum ini memiliki sebuah bengkel, namun perniagaan itu terpaksa ditutup akibat kesan pandemik Covid-19.
BACA: Buat Tempahan Sejak 2010, Pemilik Kedai Terima Stok Telefon Nokia ‘Purba’ Pada 2026
Sumber: Thaiger