Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Akrab, Abang Kakak Semua ‘Turun Padang’ Hantar Adik Ke Sekolah
Sesi persekolahan 2025/2026 telah bermula sejak 16 Februari lalu. Tidak kira sama ada di peringkat prasekolah, tadika mahupun sekolah rendah, warga maya tidak kering gusi menyaksikan pelbagai gelagat dan reaksi anak-anak serta ibu bapa yang baru melangkah ke alam persekolahan.
Menangis, meraung, meluru tanpa menoleh ke belakang, semuanya telah dilalui oleh para guru yang menyambut anak-anak kecil ini saban tahun. Jarang sekali warga maya dipertontonkan gelagat pelajar yang memasuki alam sekolah menengah kerana kebiasaannya, pelajar sekolah menengah hadir tanpa ditemani ibu bapa, melainkan mereka yang masuk ke asrama.
Namun kali ini, satu rakaman mendapat perhatian warga maya apabila seorang pelajar perempuan melangkah masuk ke pagar sebuah sekolah menengah dengan ditemani kakak dan abangnya. Tidak hanya berhenti di hadapan pagar sekolah, ketiga-tiga abang meneruskan perjalanan menghantar adik bongsu mereka sehingga ke ruang perhimpunan. Empat beradik ini melangkah dengan senyuman lebar, tanpa kelihatan kekok untuk berjalan bersama-sama.
“Hari pertama ke sekolah. Hari ini abang kakak dia lah hantar sebab dia seorang je masih bersekolah,” kongsi pemilik akaun TikTok tersebut, Lisha Shahrom.
BACA: “Tangan Beralaskan Selipar”, Ibu Kongsi Anak OKU Masuk Sekolah Undang Sebak
Menurut Lisha ketika dihubungi SK, kesemua ahli keluarga sebenarnya hadir untuk menghantar adik bongsu pada hari berkenaan.
“Kami tujuh beradik, empat perempuan dan tiga lelaki. Semasa hantar adik ke sekolah, kami semua menyambut kemasukan adik ke sekolah menengah dengan makan tengah hari bersama. Ibu bapa dan kakak yang lain ada di dalam kereta,” ujarnya.

Biarpun mempunyai jarak umur 16 tahun dengan abang yang sulung, adik bongsu tetap rapat dengan semua kakak dan abang, tambah Lisha.
“Memang kami terapkan untuk sentiasa menyokong setiap aktiviti dan pencapaian bersama. Sebagai contoh sekecil-kecil aktiviti merentas desa peringkat sekolah, kami datang dan beri sokongan hinggalah adik-adik bertanding di peringkat kebangsaan seperti nasyid, merentas desa dan kawad. Kami datang walaupun di negeri berbeza,” jelasnya lagi.
Pernah suatu ketika, adik bongsunya meluahkan hasrat menyertai pertandingan penghasilan video ‘Cita-Cita Saya’. Dengan sokongan penuh daripada abang-abang dan kakak-kakak, video tersebut berjaya mendapat tempat pertama dan terpilih sebagai salah satu video terbaik. Setakat hari ini, video bertarikh 1 Disember 2020 itu mendapat lebih 17 ribu tontonan di Instagram.
“Kami siap buat satu saluran YouTube, The 7 Siblings, untuk melayan karenah adik-adik, juga sebagai kenangan. Bila kita terapkan saling menyokong satu sama lain, adik-adik lebih berani untuk mencuba pelbagai bidang. Ada yang dalam junam bebas, selam skuba, larian, renang, silat dan lain-lain,” kongsi wanita berkenaan.
BACA: Fenomena Jarang Berlaku, Lebih 150 Ekor Ikan Lumba-Lumba Ditemui Terdampar
Sumber: lishashahrom_