Kejohanan Grand Slam terakhir musim ini Terbuka Amerika Syarikat 2026, bakal bermula pada 30 Ogos ini dengan beberapa juara bertahan berdepan persoalan mengenai tahap prestasi dan kecergasan mereka.
Antara yang menjadi perhatian ialah bintang tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz, yang masih belum kembali ke gelanggang selepas mengalami kecederaan serius pada pergelangan tangan.
Alcaraz masih belum temui rentak
Alcaraz kali terakhir beraksi kira-kira empat bulan lalu ketika saingan ATP 500 Terbuka Barcelona.
Selepas menewaskan Otto Virtanen pada pusingan 32 terbaik, beliau terpaksa menarik diri daripada perlawanan menentang pemain Czech, Tomáš Macháč akibat kecederaan pada pergelangan tangan.
Kecederaan itu turut memaksanya terlepas saingan Roland Garros dan Wimbledon, malah proses pemulihannya dikatakan masih belum selesai sepenuhnya.
Dalam tempoh ketiadaan Alcaraz, pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, pula tampil dengan prestasi lebih dominan termasuk muncul juara Wimbledon.
Situasi itu menyaksikan Sinner kini dianggap pilihan utama untuk mencabar kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat, manakala Alcaraz berada di belakangnya.
Menurut laporan itu, peluang Alcaraz untuk kembali dengan prestasi terbaik turut menimbulkan persoalan kerana beliau sudah lebih 120 hari tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif.
Beberapa kejohanan gelanggang keras seperti di Washington, Montreal dan Cincinnati lazimnya menjadi pentas persiapan pemain sebelum Terbuka Amerika Syarikat.
Namun, Alcaraz dilaporkan akan kembali beraksi terus pada Terbuka Amerika Syarikat selepas tidak menyertai kejohanan di Cincinnati.
Setakat ini, penyertaannya juga belum dapat dipastikan sepenuhnya dan semuanya bergantung kepada tahap kecergasannya menjelang separuh kedua Ogos.
Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat 2003, Andy Roddick, turut berpandangan bahawa Alcaraz tidak seharusnya terburu-buru kembali beraksi dalam kejohanan format lima set.
Jelasnya, perlawanan dalam format itu boleh berlangsung selama beberapa jam, selain pemain perlu berdepan jadual pertandingan yang padat serta cuaca panas dan lembap di New York.
Kecederaan pada pergelangan tangan juga boleh memberi kesan besar terhadap permainan Alcaraz memandangkan bahagian itu memainkan peranan penting ketika melakukan pukulan.
Dalam perkembangan sama, Alcaraz dijangka kehilangan kedudukan nombor dua dunia kepada Alexander Zverev.
Ini bermakna, Alcaraz dan Sinner tidak lagi semestinya berada di bahagian berbeza dalam undian kejohanan, sekali gus membuka kemungkinan kedua-dua pemain bertemu seawal peringkat separuh akhir.

Sabalenka pula berdepan masalah konsistensi
Dalam saingan wanita, Aryna Sabalenka masih dianggap antara pilihan utama dalam kejohanan Grand Slam.
Namun, pemain nombor satu dunia itu belum berjaya menjulang sebarang trofi Grand Slam pada tahun ini.
Prestasinya juga menunjukkan penurunan dengan Sabalenka muncul naib juara Terbuka Australia, tersingkir di suku akhir Roland Garros dan sekadar mara ke pusingan 16 terbaik Wimbledon.
Beliau sebelum ini menjuarai kejohanan berprestij di Miami dan Indian Wells pada Mac lalu.
Bagaimanapun, prestasi selepas itu kurang memberangsangkan apabila beliau tersingkir awal di Madrid, Rome, Berlin dan Toronto.
Menurut laporan itu, Sabalenka juga beberapa kali tewas kepada pemain yang berada pada kedudukan lebih rendah dalam ranking dunia.
Situasi berkenaan membuka peluang kepada pemain lain untuk memberi saingan kepada juara bertahan Terbuka Amerika Syarikat itu.
Sejarah tenis wanita sepanjang sedekad lalu juga membuktikan kejohanan Grand Slam mampu dimenangi pemain di luar kelompok lima terbaik dunia.
Dengan Terbuka Amerika Syarikat 2026 bakal membuka tirai pada 30 Ogos ini, perhatian pastinya terarah kepada sama ada Alcaraz mampu kembali bangkit selepas kecederaan dan Sabalenka pula menemui semula rentak terbaiknya di gelanggang.

