AmanahRaya Salur RM300,000 Di Bawah Insiatif Sekolah Angkat MADANI Bagi Memperkasa Persekitaran Pembelajaran
Kuala Lumpur, 24 Januari 2026-- Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), menerusi Yayasan AmanahRaya, telah menyalurkan sumbangan lebih kurang RM300,000 kepada dua buah sekolah di bawah program “AmanahRaya Love & Care – Sekolah Angkat MADANI”, sebagai usaha menyokong pembangunan generasi masa hadapan melalui pemerkasaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selamat dan ceria.

Sumbangan tersebut digunakan untuk pelbagai inisiatif penambahbaikan di SMK Datok Lokman, Kuala Lumpur dan SMK Alam Megah, Shah Alam, termasuk pembinaan susur gajah, kerja-kerja baik pulih bumbung, pembekalan televisyen pintar (Smart TV), pemasangan kameralitar tertutup (CCTV), penyediaan prasarana digital dan pembiayaan program akademik dan kokurikulum.
Menurut Lokman Ab Latif, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan, AmanahRaya, program ini mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab AmanahRaya sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia dalam memelihara kepentingan masyarakat dan komuniti.

“Bagi AmanahRaya, pendidikan merupakan warisan berharga yang perlu dipelihara kerana ia merupakan asas kepada pembangunan dan kemampanan negara. Program seperti “AmanahRaya Love & Care – Sekolah Angkat MADANI” mencerminkan komitmen kami dalam menyokong pembangunan murid, warga pendidik dan sektor pendidikan yang lebih berdaya tahan dan inklusif, selari dengan mandat dan amanah kami sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia”, katanya.
AmanahRaya turut melaksanakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat di SMK Datok Lokman yang melibatkan seramai 60 orang sukarelawan warga kerja dari AmanahRaya dan anak syarikat. Aktiviti tersebut merangkumi kerja-kerja mengecat, pembersihan kawasan sekolah serta usaha keceriaan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa.

Program “AmanahRaya Love & Care – Sekolah Angkat MADANI” telah diluncurkan pada 24 Januari 2026 di SMK Datok Lokman, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa.
AmanahRaya kekal komited dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang merangkumi pelbagai program berimpak positif untuk manfaat komuniti di seluruh negara, termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan dan pembangunan sosial.