Hujan lebat, ribut petir dan angin kencang diramal melanda empat negeri sehingga jam 12 tengah malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa keadaan cuaca itu diramal melanda seluruh Perlis.
Selain itu, daerah Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang dan Yan di Kedah turut terlibat.
Bagi negeri Pahang, daerah Bentong, Bera, Temerloh, Lipis, Pekan dan Maran turut tersenarai.
Di Sarawak pula, ia melibatkan beberapa daerah iaitu di Kapit (Song), Sibu (Kanowit dan Sibu), Sarikei, Betong, Bintulu, Samarahan (Sebuyau dan Asajaya).
Amaran hujan lebat

MetMalaysia berkata amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
