Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di sembilan negeri dan satu Wilayah Persekutuan sehingga jam 8 malam ini.
Amaran hujan lebat
Dalam satu kenyataan, MetMalaysia berkata amaran itu membabitkan seluruh negeri Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Selain itu, amaran turut melibatkan beberapa daerah di Kedah iaitu di Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Pokok Sena dan Yan.
Di Perak, hujan diramal akan melanda daerah Manjung, Perak Tengah, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Manakala di Pahang pula, daerah Pulau Tioman, Lipis, Raub dan Cameron Highlands turut diramal terlibat.
Sementara itu, MetMalaysia turut memaklumkan bahawa keadaan cuaca itu melibatkan Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Johor Bahru dan Pontian di negeri Johor.
Beralih ke Sarawak, daerah yang terlibat ialah Kapit (Belaga, Bukit Mabong dan Kapit), Bintulu (Bintulu dan Sebauh), Miri (Subis, Miri dan Marudi), Limbang, Sibu, Mukah (Dalat dan Mukah), Sarikei (Julau, Pakan dan Maradong), Kuching (Kuching dan Bau).
Di Sabah, hujan lebat diramal di Sandakan (Kinabatangan dan Tongod), Tawau (Lahad Datu dan Kalabakan), Pedalaman, Pantai Barat (Tuaran, Kota Belud dan Ranau).
Amaran itu juga membabitkan Wilayah Persekutuan Labuan.

MetMalaysia berkata amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
