Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lapan negeri sehingga jam 9 malam ini.
Hujan Lebat Di Beberapa Negeri
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada jam 5.10 petang, amaran berkenaan melibatkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.
“Di Kedah, kawasan yang terlibat ialah Sik, Baling, Kulim, Bandar Baharu, Kuala Muda, Pendang, Kota Setar, Yan, Pokok Sena dan Padang Terap. Manakala di Pulau Pinang pula melibatkan Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.
“Bagi Perak, amaran dikeluarkan untuk Kerian, Selama, Larut Matang, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang.
“Di Kelantan pula melibatkan Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas.
“Selain itu, beberapa kawasan di Terengganu turut dijangka mengalami cuaca buruk iaitu Kuala Nerus, Setiu dan Besut.
“Di Pahang, amaran melibatkan Rompin dan Cameron Highlands, selain Johor di Segamat dan Mersing.
“Beralih ke Sabah, kawasan yang terlibat ialah Pedalaman (Membakut, Keningau, Tambunan, Beaufort dan Kuala Penyu), Pantai Barat, Kudat (Kota Marudu dan Pitas),” menurut maklumat MetMalaysia.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada terhadap perubahan cuaca secara mendadak dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan diri serta keluarga.
Orang ramai juga disarankan supaya mengelakkan aktiviti luar ketika ribut petir berlaku dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai keadaan cuaca menerusi saluran rasmi MetMalaysia.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini akibat hujan lebat, ribut petir dan angin kencang yang dijangka melanda kawasan terlibat.
