Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Anak Saman Bapa, Duit Simpanan Digunakan Tanpa Izin Untuk Kahwin Baru

Anak Saman Bapa
Kredit: ImageFX

Anak Saman Bapa, Duit Simpanan Digunakan Tanpa Izin Untuk Kahwin Baru

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun berjaya menang tuntutan saman terhadap bapanya selepas lelaki itu menggunakan lebih 80,000 yuan (kira-kira RM45,668) untuk membiayai majlis perkahwinan baharunya.

South China Morning Post melaporkan kesemua wang berkenaan adalah hasil angpau yang diterima kanak-kanak itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Susulan kejadian itu, bapa kepada kanak-kanak tersebut diperintahkan mahkamah supaya memulangkan sepenuhnya wang yang diambil berjumlah 82,750 yuan (kira-kira RM47,226), termasuk jumlah prinsipal serta faedah.

Kanak-kanak yang bernama Xiaohui itu berasal dari Zhengzhou, wilayah Henan di utara China, tinggal bersama bapanya sejak ibu bapanya bercerai dua tahun lalu.

Sejak beberapa tahun lalu, Xiaohui mengumpulkan lebih 80,000 yuan hasil angpau yang diterimanya, dan kesemua wang tersebut disimpan dalam akaun bank yang dibuka khas oleh bapanya.

Selepas itu, bapa Xiaohui mendirikan rumah tangga buat kali kedua, manakala kanak-kanak berkenaan dihantar untuk tinggal bersama ibunya.

Bapanya mengeluarkan sejumlah wang yang banyak

Tanpa pengetahuan dan persetujuan Xiaohui, bapanya mengeluarkan keseluruhan 82,750 yuan, termasuk jumlah prinsipal serta faedah bagi menampung kos perkahwinannya.

Ketika Xiaohui meminta bapanya memulangkan wang tersebut, lelaki itu enggan dengan alasan ia merupakan pemberian daripada saudara-mara dan rakan dalam lingkungan sosialnya sendiri.

Dalam masa sama, bapanya menyatakan hanya akan menyerahkan semula wang itu selepas anaknya mencapai usia dewasa.

Selepas itu, Xiaohui bertindak memfailkan saman terhadap bapanya.

Bagaimanapun, bapanya mendakwa tindakan undang-undang berkenaan dibuat selepas kanak-kanak itu dipengaruhi oleh ibunya.

Mahkamah kemudian memutuskan bahawa wang hadiah tersebut secara sah adalah milik Xiaohui sebagai harta peribadi.

Walaupun bertindak sebagai bapa dan penjaga yang sah, lelaki itu tidak berhak mengeluarkan serta menggunakan wang berkenaan tanpa kebenaran kerana perbuatan tersebut melanggar hak harta kanak-kanak.

Setiap kali Tahun Baharu Cina, kanak-kanak, termasuk mereka yang sudah dewasa tetapi belum berkahwin, lazimnya menerima angpau sebagai simbol doa dan harapan untuk tahun yang lebih baik.

Namun, wang berkenaan sering disimpan oleh ibu bapa atas pelbagai alasan, termasuk kebimbangan ia diberikan kepada orang lain atau untuk mengelakkan anak-anak membelanjakannya ke atas permainan.

Menurut peruntukan Kanun Sivil Republik Rakyat China, angpau yang diberikan semasa musim perayaan diklasifikasikan sebagai hadiah dan secara sah menjadi hak milik kanak-kanak yang menerimanya.