Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Antartika Catat Suhu Luar Biasa Tinggi
Antartika mencatatkan suhu yang luar biasa tinggi pada awal bulan ini apabila beberapa kawasan merekodkan bacaan jauh melebihi paras normal.
Hal ini sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan saintis mengenai risiko pencairan ais yang semakin pantas, lapor CGTN.
Pada 6 Jun, suhu di Semenanjung Trinity direkodkan mencecah 15.4 darjah Celsius, iaitu suhu tertinggi pernah dicatatkan di kawasan itu pada musim sejuk.
Bacaan tersebut direkodkan di stesen penyelidikan Argentina, Esperanza Base. Ia juga mengatasi rekod sebelumnya iaitu 13.3 darjah Celsius yang dicatatkan pada tahun 1998.
Lebih mengejutkan, suhu itu sekitar 20 darjah Celsius lebih tinggi daripada suhu biasa bagi bulan Jun, yang kebiasaannya berada pada paras -6.2 darjah Celsius.
Bahkan, seorang pakar iklim dari Universiti Groningen, Raul Cordero, menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang sangat luar biasa.
Bukan hanya Esperanza Base yang mengalami cuaca panas luar biasa. Beberapa stesen penyelidikan lain di Antartika turut mencatatkan rekod baharu.
Di Marambio Base, suhu meningkat kepada 11.8 darjah Celsius, sedangkan suhu purata bulan Jun di kawasan itu biasanya sekitar -10.7 darjah Celsius.
Sementara itu, San Martin Base merekodkan suhu 9.4 darjah Celsius, jauh lebih tinggi berbanding purata biasa iaitu -5.6 darjah Celsius.
Di Pulau King George, kira-kira 160 kilometer dari Esperanza Base, para penyelidik melihat sendiri kesan suhu tinggi tersebut apabila salji dan ais mula mencair dengan cepat.
Keadaan itu menyebabkan pemandangan yang biasanya putih dilitupi salji bertukar kepada warna coklat, kelabu dan hijau apabila tanah mula kelihatan.
Ahli glasier dari Chile, Luis Munoz, berkata keadaan itu sangat pelik kerana kawasan tersebut biasanya masih dilitupi salji setebal kira-kira 20 sentimeter pada bulan Jun.