Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengundang Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu pelarian Myanmar, termasuk Rohingya.
Anwar berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jemaah Menteri kira-kira dua minggu lalu sebagai sebahagian pendekatan diplomasi secara langsung dengan kerajaan Myanmar.
Katanya, Malaysia mahu mendapatkan persetujuan Myanmar untuk menerima semula rakyatnya yang berada di negara ini secara berperingkat sekiranya penghantaran pulang tidak dapat dilakukan secara serentak.
“Saya undang sebab nak bagi tahu kita boleh bersahabat, kita boleh berdagang, kita boleh terima Myanmar, tapi Myanmar mesti terima (kembali pelarian Rohingya).
“Kalau tak boleh secara sekali gus, ambil secara berperingkat dan kita akan bantu menyelesaikan,” katanya ketika menjadi tetamu podcast SembangOhhYeahh sempena Hari Malaysia.
Menurut Anwar, pendekatan rundingan secara langsung lebih praktikal bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan berbanding sekadar mengeluarkan kecaman.
Beliau berkata, kerajaan juga mengambil kira beban keselamatan dan kewangan sekiranya pelarian terus ditempatkan di Malaysia untuk tempoh panjang.
“Lebih baik kita bayar sedikit daripada perlu menanggung sebeban dengan bagi makan ratusan ribu orang di depoh.
“Orang cadang tangkap, baik lepas tangkap kita nak letak ke mana?” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, rundingan dengan Myanmar bukan hanya bertujuan memastikan pelarian dihantar pulang, sebaliknya aspek keselamatan dan kebajikan mereka turut perlu diberi jaminan.
Jelasnya, Malaysia mahu memastikan mereka yang pulang tidak berdepan ancaman keselamatan atau tindakan yang boleh membahayakan nyawa.
“Kalau dia bawa balik dan bunuh macam dulu, tak boleh juga. Jadi kita runding, kita bukan runding untuk hantar mereka balik sahaja.
“Kita minta jaminan keselamatan, bagi kawasan selamat, bagi kawasan orang Islam supaya tidak diganggu. Itu yang kita lakukan,” katanya.
Anwar berkata, dalam rundingan terdahulu dengan pemimpin Myanmar, beliau turut menyampaikan pendirian Malaysia supaya keselamatan mereka yang dihantar pulang dijamin.
Sementara itu, Myanmar dilaporkan telah bersetuju menerima 5,000 pelarian sebagai langkah awal, manakala kira-kira 1,500 individu dijangka dihantar pulang dalam fasa pertama secara sukarela.
Menurut Anwar, penghantaran pulang secara berperingkat itu akan dilaksanakan dengan mengambil kira aspek keselamatan serta kebajikan mereka yang terlibat.


